Calon PH DUN Api Api teruskan khidmat komuniti biarpun tewas PRN Sabah
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Oleh: Akmal manaf
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Api-Api, Thonny Chee merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi sambil menyatakan komitmen untuk tidak meninggalkan perjuangan berkhidmat kepada masyarakat meskipun tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 Sabtu lalu.
Menerusi satu kenyataan, Chee berkata, beliau menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pengundi namun pada masa sama akan meneruskan usaha menerusi pasukan TC Initiative untuk berkhidmat kepada rakyat dan mempromosikan kebajikan setempat serta pembangunan ekonomi.
"Saya menerima keputusan pilihanraya dengan tenang dan sekali lagi menegaskan penghormatan terhadap pilihan pengundi. Semasa sesi ziarah dan penghargaan bersama pasukan di Api-Api, saya menegaskan bahawa walaupun beliau tidak menang, misi kekal tidak berubah.
''Saya akan terus bersuara demi rakyat, memantau tadbir urus, mempromosikan pentadbiran baik, meningkatkan kebajikan awam serta memperkukuh pembangunan komuniti.
"Menerusi pilihanraya ini, pasukan saya dan saya berpeluang turun ke akar umbi, mendengar sendiri suara rakyat dan memahami kesukaran yang mereka hadapi," katanya.
Dalam kenyataan sama, Chee menegaskan, suara rakyat tidak akan terpadam hanya kerana tidak memenangi PRN, malah pihaknya akan terus bersuara dan berkhidmat.
"Selepas ini tumpuan saya adalah untuk memantau tadbir urus, menambah baik infrastruktur asas komuniti, merancakkan ekonomi tempatan dan persekitaran pelancongan serta terus menjaga kebajikan rakyat.
"Pasukan TC Initiative akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan PH, agensi kerajaan, jabatan berkaitan dan pertubuhan masyarakat sivil untuk menyalurkan bantuan kepada orang ramai," ujarnya lagi.
Terdahulu, Chee turut melawat beberapa kawasan komuniti di Api-Api untuk mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada pengundi dan mengagihkan barangan bantuan yang dikumpul untuk golongan memerlukan, sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap khidmat masyarakat.









Comments