
Proses hari mengundi biasa bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hari ini dilihat berjalan dengan lancar, dengan begitu ramai pengundi hadir ke pusat daerah mengundi seawal pukul 7 untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih kerajaan negeri baharu.
Calon KEADILAN bagi DUN Api-Api, Christina Liew tiba di Sekolah Kebangsaan Sacred Heart, Kota Kinabalu pada pukul 9.45 pagi bagi menunaikan tanggungjawabnya.
Beliau yakin pengundi akan membuat pilihan bijak untuk menentukan hala tuju dan masa depan Sabah.
"Saya rasa KEADILAN dan Warisan Plus mempunyai peluang cerah untuk memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan tetapi sekarang ini segala-galanya bergantung kepada rakyat yang mengundi.
"Saya sudah pergi ke tiga pusat daerah mengundi, dan setakat ini proses mengundi berjalan lancar. Ada beberapa masalah kecil tapi ia berjaya diselesaikan. Cuaca pun baik, saya harap ia kekal sampai habis nanti," katanya.
Bagaimanapun, Christina enggan mengulas sekiranya dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan kesan kepada keputusan PRN Sabah.
"Apa jua yang diputuskan, kita hanya fokus kepada PRN sahaja. Saya harap semua berjalan lancar dan apabila keputusan keluar malam ini, biar rakyat yang buat keputusan," katanya.
Calon KEADILAN DUN Inanam, Peto Galim juga selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Kokol pada 8 pagi tadi.
Calon KEADILAN DUN Tamparuli, Alijus Sipil turut selesai mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa pada pagi tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh menjangkakan peratusan keluar mengundi di seluruh Sabah akan mencecah antara 70 hingga 75 peratus.
Proses pengundian akan berakhir pada pukul 5 petang ini.