
Oleh: Abdullah Zaid
Berbekalkan semangat dan tekad bagi membantu warga DUN N.06 Jitra, calon Pakatan Harapan (PH) Datin Sabrina Ahmad berazam untuk mewujudkan pusat khidmat bergerak sebagai janji utamanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Jelas beliau, manifestasi pusat khidmat itu hasil daripada keluhan diterima para pengundi di DUN tersebut yang mendambakan kemudahan untuk mengadukan hal dan masalah kepada pihak berkuasa.
"Jitra ketinggalan banyak perkara, kalau satu masa dahulu Jitra lebih moden daripada Kangar (ibu negeri Perlis) tetapi sekarang sudah berbeza.
"Jadi mandat yang diberikan paling utama ialah membuka Pusat Khidmat Bergerak sebab rakyat di sini sudah lama tidak disantuni.
"Mereka juga tidak perlu cari kita, sebaliknya kita yang mencari mereka sebab kita berkhidmat untuk rakyat," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.

Tambah Ketua Wanita KEADILAN Kedah ini, isu infrastruktur dan prasarana di sekitar Jitra perlu diberi perhatian segera bagi memastikan warga atau pengundi di situ mendapat kemudahan yang sepatutnya.
"Isu infrastruktur seperti lampu jalan, kemudahan rekreasi untuk orang ramai amat perlu diambil tindakan segera untuk diselesaikan.
"Selain itu, masalah penjaja yang berselerak perlu disusun dan ditempatkan di premis tumpuan agar golongan penjaja dapat berniaga dengan lebih selesa," ujarnya.
Justeru, Ketua Wanita Pakatan Harapan Kedah itu berharap pengundi di DUN Jitra memberi peluang kepadanya menerajui kerusi tersebut agar isu-isu yang membelenggu mereka dapat diselesaikan.
Di samping itu, katanya Kedah perlu seiring dengan Kerajaan Persekutuan agar tidak ketinggalan daripada aspek pembangunan.
"Perlu untuk kita (seiring kerana) Kerajaan Negeri Kedah sangat bergantung kepada peruntukan Kerajaan Pusat.
"Jadi adalah lebih baik untuk memilih gabungan PH-BN supaya pembangunan negeri Kedah lebih baik dan terjamin," jelasnya lagi.
Bagi PRN kali ini Datin Sabrina Ahmad berdepan dengan calon anak jati Selangor, Prof Dr Haim Hilman Abdullah (PN) bagi merebut DUN Jitra.
Pada PRU14, kerusi DUN Jitra dimenangi PH dengan majoriti 10,849 undi melalui bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada Bersatu.