
Oleh: Abdullah Zaid
Keadaan pusat penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan di Jabatan Belia dan Sukan, Seremban, dilihat rancak dengan penyokong parti bertanding mula memenuhi kawasan yang disediakan pihak berkuasa.
Laluan utama di Persiaran Dato' Wan yang menempatkan pusat penamaan calon turut ditutup daripada pintu pusat penamaan calon berkenaan.
DUN Ampangan dianggap 'kerusi panas' kerana pertembungan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Tengku Zamrah Tengku Sulaiman, calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Ghazali Zainal Abidin dan bekas penyandang DUN Ampangan Mohammad Rafie Abd Malek (Bebas)
Sehingga pukul 9.20 pagi ini, ketiga-tiga calon yang bertanding telah masuk ke dewan bersama pencadang dan penyokong masing-masing.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, kerusi DUN Ampangan dimenangi parti KEADILAN dengan majoriti 1,360.
Dalam pada itu, berbanding PRU14, daftar pemilih untuk DUN Ampangan adalah 13,225 pengundi dan jumlah itu bertambah menjadi 20,891 bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Untuk rekod, sekitar 60 peratus atau 12,535 pengundi adalah wanita manakala baki 8,356 lelaki sekaligus memberi kelebihan besar buat calon wanita KEADILAN itu berbanding calon lawannya.