Oleh: Abdullah Zaid
Terkesan dengan isu krisis air Kedah yang semakin parah, calon N.25 DUN Bukit Selambau, Summugam Rengasamy bertekad untuk menoktahkan masalah tersebut jika rakyat negeri itu memberi peluang kepada gabungan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri kali ini.
"Saya lihat di DUN Bukit Selambau ada krisis air yang teruk terutama di Taman Baru, Taman Lembah Pertama Seri Bayu dan Ampangan Height masalah air ini sahaja (Bukit Selambau) melibatkan 100 ribu penduduk.
"Masalah ini juga bukan berlaku di sini tetapi hampir seluruh Kedah hadapi masalah sama.
"Namun berbanding dengan kawasan lain, DUN Bukit Selambau lebih terkesan kerana kawasan ini padat dengan penduduk, jadi ia top priority (keutamaan) saya," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.
Jelas penyandang ADUN itu lagi, selain masalah air, isu-isu melibatkan kerusi tersebut juga akan terus diperjuangkan.
"Saya juga akan terus membawa isu-isu rakyat yang lain.
"Buat masa ini isu peruntukan dan bekalan air di rumah ibadah banyak dibantu oleh Pejabat Khidmat saya," ujarnya.
Dalam pada itu, calon Pakatan Harapan itu juga menyeru agar pengundi di seluruh negeri Jelapang Padi memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk menerajui Kedah dan menanggani isu air yang memerlukan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.
"Isu air di Kedah kita lihat memerlukan peruntukan besar untuk diselesaikan dan pendapatan negeri tidak tinggi berbanding Selangor dan Penang.
"Oleh itu, pengundi Kedah mestilah memilih PH-BN keranan gabungan ini sahaja yang berpengalaman dan tahu mentadbir negeri ini. Kita ‘Kalih Bagi Sama’ (dengan Persekutuan),” ujarnya lagi.
Комментарии