Calon BN teruja penyokong keluar mengundi sejak pagi


Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil DUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam (gambar, bersongkok) teruja melihat masyarakat Pelangai yang beliau kenali sejak awal pagi lagi telah berbaris mengundi.
Menurut Amizar, dalam lawatannya ke pusat pembuangan undi dan menyapa para pengundi yang telah menyelesaikan tanggungjawab, mereka berkata telah memangkah nombor 3, iaitu nama beliau di kertas undi.
"Teruja saya tengok ramai yang keluar awal pagi untuk mengundi. Semacam hari raya, semua berpakaian kemas dan wangi.
"Di luar kawasan pusat mengundi, saya bertegur sapa dengan penduduk sekitar Felda Chemomoi. Ada yang peluk saya, ada yang senyum-senyum tersipu malu, ada juga berkerusi roda hadir bersama.
"Apabila ditanya adakah mereka sudah selesai mengundi. Masing-masing menunjukkan jari nombor 3," katanya di Facebook.
Beliau berterima kasih dengan pengundi yang telah mengundinya dan berharap akan mencapai kemenangan pada malam ini.
"Rata-rata mendoakan kejayaan buat abang Uda.
"Amiinnnn….. Insya Allah. Terima kasih banyak-banyak.
"Itu sahaja yang mampu abang Uda balas. Selebihnya kita serahkan kepada Allah yang Maha Mengetahui," katanya lagi.




Comments