Caj elektrik lebih rendah guna pelan tarif elektrik baharu ToU, jimat kos
- Suara Keadilan

- Jul 25
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Kerajaan menggalakkan rakyat memanfaatkan pelan tarif elektrik baharu, Time-of-Use (ToU) yang menawarkan kadar caj berbeza mengikut waktu penggunaan tenaga sebagai salah satu langkah bagi membantu pengguna mengawal bil elektrik bulanan secara lebih cekap.
Inisiatif ini dilihat sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin bahawa terdapat penurunan bil elektrik antara lima hingga 14 peratus bagi sebahagian pengguna sejak pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik berkuat kuasa 1 Januari lalu.
"ToU adalah satu pendekatan dinamik dalam pengurusan penggunaan tenaga. Ia memberi kuasa kepada pengguna untuk merancang corak penggunaan mengikut kadar tarif semasa.
"Ini juga menyokong usaha negara dalam menjayakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)," kata PM ketika berucap pada majlis pelancaran Inisiatif Cekap Tenaga di Putrajaya baru baru ini.
Walaupun tarif elektrik telah dinaikkan, Anwar menjelaskan bahawa kos penjanaan tenaga bagi Semenanjung telah menurun menyebabkan bil elektrik keseluruhan menjadi lebih rendah
Bagaimanakah ToU berfungsi
ToU merupakan struktur tarif alternatif yang mengenakan kadar elektrik berbeza berdasarkan waktu penggunaan.
Pengguna akan dikenakan kadar puncak (peak) pada hari bekerja antara jam 2 petang hingga 10 malam, manakala kadar luar puncak (off-peak) dikenakan dari jam 10 malam hingga 2 petang, serta sepanjang hari pada hujung minggu dan cuti umum.
Antara cuti umum yang diambil kira ialah Hari Tahun Baharu, Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Hari Pekerja, Hari Wesak, Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia dan Hari Krismas.
Skim ToU memberi manfaat maksimum kepada kumpulan pengguna tertentu termasuk suri rumah atau pesara yang banyak meluangkan masa di rumah pada waktu luar puncak.
Pemilik kenderaan elektrik (EV) yang mengecas pada waktu malam atau hujung minggu juga boleh mendapatkan penjimatan kos elektrik.
Golongan profesional seperti editor video atau pencipta kandungan yang bekerja pada waktu malam juga berpeluang merasai penurunan caj tersebut.
Semak corak pengggunaan elektrik
Bagaimanapun, ToU mungkin tidak sesuai bagi pengguna yang bergantung kepada tenaga tinggi sepanjang waktu puncak. Justeru itu, pengguna disaran menyemak corak penggunaan elektrik masing-masing.
Dalam hal ini, orang ramai perlu membuat analisis corak penggunaan menerusi bil terdahulu atau aplikasi myTNB dan mengenal pasti waktu puncak dan luar puncak berdasarkan aktiviti harian.
Orang ramai boleh menggunakan Kalkulator Bil myTNB bagi menganggarkan bayaran bulanan di bawah pelan semasa dan ToU.
Pelan ToU kini terbuka kepada semua pelanggan berdaftar Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan permohonan boleh dibuat melalui emel ke tnbtou@tnb.com.my, kunjungan ke Kedai Tenaga atau melalui portal/aplikasi myTNB. Setiap penukaran kontrak tertakluk kepada duti setem sebanyak RM10.
Selain memilih pelan tarif yang sesuai, pengguna turut disaran mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah bagi mengoptimumkan penjimatan. Antara langkah yang boleh diambil:
Menggunakan lampu LED yang lebih jimat tenaga.
Mencabut peralatan elektrik selepas digunakan.
Mengutamakan penggunaan kipas berbanding penyaman udara.
Menggunakan mesin basuh ketika muatan penuh sahaja.
Memasang palam pintar untuk kawalan tenaga automatik.
Pengguna domestik yang berjaya mengekalkan penggunaan elektrik di bawah 1,000 kWj sebulan juga layak menerima Insentif Cekap Tenaga.
Untuk maklumat lanjut tentang pelan tarif ToU dan kemudahan kalkulator bil, orang ramai boleh melayari laman rasmi: https://www.mytnb.com.my/tariff









Comments