top of page

Tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak diperinci bersama SPR

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
12 hours ago
2 min read

Cadangan penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak kepada 35 peratus bakal diperincikan melalui satu Jawatankuasa Khas melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) serta kerajaan negeri.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata langkah itu susulan libat urus rasmi pertama antara BHESS dan SPR pada 22 September lalu bagi meneliti hala tuju serta mekanisme pelaksanaan cadangan berkenaan.


"Pertemuan pertama itu meneliti hala tuju dan mekanisme pelaksanaan termasuk pertimbangan Perlembagaan, perundangan, teknikal, persempadanan pilihan raya serta data yang diperlukan.


“Susulan pertemuan tersebut, saya telah mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Khas di bawah Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 diwujudkan dengan penglibatan SPR, BHEUU, BHESS serta kerajaan negeri bagi memperincikan kaedah dan garis masa pelaksanaan cadangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Datuk Mustapha Sakmud
Datuk Mustapha Sakmud

Pada masa ini, Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi atau 25.3 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi Dewan Rakyat dengan cadangan meningkatkan nisbah perwakilan kedua-dua negeri itu kepada 35 peratus.


Mustapha berkata cadangan tersebut merupakan antara usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diterjemahkan kepada penyelesaian yang membawa kesejahteraan kepada rakyat.


Daripada 29 perkara utama yang dipantau melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), sebanyak 16 perkara telah diselesaikan sepenuhnya, tiga berada pada tahap penyelesaian interim atau sebahagian manakala 10 lagi masih dalam rundingan lanjut, kata beliau.


Bagi perkara yang belum dimuktamadkan, katanya, rundingan antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak diteruskan secara berstruktur.


Antaranya termasuk Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang kini mempunyai persetujuan interim pembayaran pada kadar RM1.5 bilion untuk Sabah dan Sarawak sementara formula pengiraan dimuktamadkan, ujar beliau.


Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha berkata penubuhan Friends of BHESS bersama Kaukus Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Parlimen Malaysia akan menyediakan ruang kepada Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara untuk memahami serta membincangkan MA63 secara lebih terbuka dan konstruktif merentasi wilayah serta politik kepartian.


Beliau menjelaskan Friends of BHESS bukan lapisan rundingan baharu dan bukan pengganti kepada MTPMA63 sebaliknya berperanan membina kefahaman serta dukungan di Parlimen khususnya bagi perkara yang akhirnya memerlukan proses perundangan dan sokongan Ahli Parlimen.


“MA63 bukan agenda Sabah dan Sarawak semata-mata. MA63 adalah agenda Malaysia,” katanya.


Mustapha berkata keputusan Perdana Menteri mengangkat MA63 sebagai Agenda Nasional adalah bertepatan dengan Perlembagaan dan semangat pembentukan Malaysia.


"Ia wajar difahami dan didukung bersama oleh seluruh rakyat Malaysia," jelasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page