top of page

Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak ditambah, tingkat nisbah perwakilan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
57 minutes ago
3 min read
DS Anwar dalam sidang media di Sabah International Convention Centre (SICC), di Kota Kinabalu. Foto:PMO
DS Anwar dalam sidang media di Sabah International Convention Centre (SICC), di Kota Kinabalu. Foto:PMO

Sabah dan Sarawak bakal memperoleh bahagian lebih besar dalam perwakilan Parlimen selepas Kabinet bersetuju secara prinsip supaya jumlah kerusi kedua-dua wilayah itu ditambah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat Kabinet pada Rabu lalu manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dimaklumkan untuk memulakan perbincangan mengenai mekanisme serta jumlah kerusi tambahan yang akan diwujudkan.


Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan pertambahan kerusi itu tidak boleh sekadar meningkatkan jumlah kerusi Sabah dan Sarawak tanpa mengubah nisbah perwakilan kedua-dua negeri berkenaan dalam Dewan Rakyat.


"Jadi, pertambahan itu mesti disertai dengan peningkatan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak," katanya dipetik laporan media.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Sabah International Convention Centre (SICC), di Kota Kinabalu hari ini.


Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg.


Menurut Anwar, sebarang pertambahan kerusi juga berkemungkinan melibatkan Semenanjung Malaysia namun prinsip yang telah dipersetujui ialah nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak perlu ditingkatkan.


Beliau berkata jumlah sebenar kerusi tambahan serta mekanismenya akan dibincangkan bersama SPR, kerajaan negeri dan parti politik dari Semenanjung.


"Jadi sekarang kita perlu melihat mekanismenya. Prinsipnya ialah mesti ada pertambahan yang meningkatkan nisbah perwakilan. Kita sudah bersetuju mengenai perkara itu.


"Tetapi butiran dan mekanismenya akan dibincangkan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya serta negeri-negeri dan parti-parti politik," jelas beliau lagi.


Sabah kini mempunyai 25 kerusi Parlimen manakala Sarawak 31 daripada keseluruhan 222 kerusi Dewan Rakyat.


Gabungan kedua-dua negeri itu ketika ini menguasai 56 kerusi atau kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen.


Tuntutan Sabah dan Sarawak adalah supaya bahagian perwakilan kedua-dua negeri itu dikembalikan sekurang-kurangnya kepada sekitar satu pertiga, seperti yang sering dihujahkan berdasarkan semangat MA63 dan susunan perwakilan ketika pembentukan Malaysia.


Perkembangan itu selari dengan pendirian kerajaan sebelum ini untuk meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak.


Pada November tahun lalu, Anwar dilaporkan berkata kerajaan sudah menetapkan dasar untuk menambah kerusi Parlimen kedua-dua negeri berkenaan walaupun ketika itu beliau belum memberi komitmen terhadap tuntutan satu pertiga.


Pada Ogos lalu pula, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Kabinet telah membincangkan perkara itu dan Anwar meminta SPR menyediakan laporan terkini bagi mempercepatkan proses penambahan kerusi Parlimen Sarawak.


Ditanya sama ada pertambahan kerusi itu boleh dilaksanakan sebelum pilihan raya umum akan datang, Anwar berkata beliau belum dapat memastikan tempoh yang diperlukan kerana proses berkenaan perlu mematuhi prosedur Perlembagaan.


"Saya tidak pasti sama ada tempohnya mencukupi kerana kita perlu mengikut proses yang ditetapkan. Saya tidak mahu campur tangan dalam proses Perlembagaan," katanya.


Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan dasar sudah dibuat dan SPR telah dimaklumkan untuk mengambil tindakan selanjutnya.


Dalam perkembangan sama, Anwar berkata kerajaan turut mempercepatkan pelantikan lebih ramai rakyat kelahiran Sabah dan Sarawak ke jawatan penting dalam Kerajaan Persekutuan.


Kata beliau, langkah itu merupakan antara perkara yang diiktiraf dalam kerangka pelaksanaan MA63.


"Fasa pertama sudah dilaksanakan, manakala fasa kedua akan dipercepatkan," katanya.


Anwar pada masa sama menegaskan MA63 tidak harus dilihat sebagai isu yang hanya membabitkan Sabah dan Sarawak, sebaliknya ia merupakan komitmen nasional.


Beliau berkata perkara itu perlu menjadi sebahagian daripada naratif nasional supaya pelaksanaan MA63 tidak terus dilihat sebagai isu sektoral yang hanya dibincangkan secara berasingan setiap tahun.


Katanya, usaha memenuhi komitmen MA63 perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh Malaysia secara keseluruhan dan tidak wajar dinilai semata-mata dari sudut kaum, parti politik atau kepentingan wilayah.


"Ini adalah komitmen nasional berkaitan pembangunan, kestabilan serta komitmen yang kita buat ketika kemerdekaan, Malaya pada 1957 dan Malaysia pada 1963," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page