Cadangan SPRM gubal tiga perundangan baharu ke arah keadilan menyeluruh - Raja Bahrin
- Akmal Manaf
- 2 minutes ago
- 2 min read

Cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menggubal sekurang-kurangnya tiga perundangan baharu bagi menutup kelompongan dalam isu pendanaan awam termasuk kutipan derma oleh NGO, dilihat membuka lembaran baharu ke arah keadilan yang lebih menyeluruh.
Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, sudah tiba masanya akta-akta baharu SPRM itu menjadi lebih menyeluruh dan adil kepada semua pihak demi keadilan dan tidak lagi timbul situasi hukuman antara dua darjat.
"Baru-baru ini, setelah banyak rungutan orang awam, saya telah mencadangkan SPRM mengkaji semula akta mereka yang sedia ada dalam kes-kes seperti Sejati MADANI yang (didakwa) terdapat penyelewengan dana awam melalui pengaruh politik.
"Dengan ini diharapkan tidak lagi berlaku ketidakadilan penghukuman berat yang tidak adil kepada yang miskin yang terpaksa mencuri susu tin untuk anak kecil yang lapar (dan) dipenjarakan.

"Pengambil wang ratusan serta jutaan ringgit (pula) hanya dikenakan denda atau langsung terlepas hukuman kerana kelemahan akta," katanya dalam satu kenyataan.
Raja Kamarul berkata, aduan berkaitan penyelewengan dana awam bagi program membantu golongan kurang berkemampuan didakwa terlepas daripada tindakan SPRM berikutan ketiadaan peruntukan khusus dalam akta sedia ada, iaitu Akta SPRM 2009.
"Pindaan dan perubahan ini telah timbul kerana peruntukan SPRM perlu dikaji semula atas 'loop hole' atau tiada peruntukan di bawah akta sedia ada.
"SPRM melalui akta baru yang ketiga akan mencegah konflik kepentingan, pengaruh rasuah politik yang tidak wajar politik yang diharapkan mampu membendung gejala penindasan tidak adil termasuk dalam kes tertentu seperti Sejati MADANI.
"Diharapkan pihak-pihak yang sebelum ini mendakwa telah terlepas daripada sebarang kesalahan agar bersabar, kerana melalui pelaksanaan akta baharu ini, belum tentu mereka yang bersalah akan terus terlepas daripada menghadapi pengadilan sewajarnya selepas ia berkuat kuasa.
"Juga diharapkan SPRM akan tegas dalam tindakan penguatkuasaan mereka untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM yang kebelakangan ini telah menghadapi banyak kontroversi," kata Raja Kamarul yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilapor berkata, ketika ini Bahagian Perundangan SPRM masih melakukan kajian lanjut berhubung cadangan itu, yang dijangka selesai September depan, sebelum dibentangkan dalam sesi libat urus bersama agensi berkaitan, termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC).
Undang-undang itu katanya membabitkan salah laku dalam jawatan awam, akta kebajikan serta akta berkait pendanaan politik bagi mencegah konflik kepentingan.
Azam sebelum ini mendedahkan, lebih lima NGO berasaskan kutipan bantuan kini disiasat pihaknya, termasuk pertubuhan yang mengutip sumbangan atas nama Palestin.
Pelbagai modus operandi juga dikesan pegawai penyiasat, selepas kertas siasatan dibuka terhadap pihak yang disyaki terbabit dalam isu itu.
