Cadangan PM bercuti tidak berasas, gangguan politik - AMK Klang
- Suara Keadilan

- Jun 7
- 1 min read

Cadangan pemimpin Pas agar Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil cuti kerana disaman sivil oleh bekas penyelidiknya, Yusoff Rawther adalah gangguan kepada sistem pemerintahan.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Klang, Mohamad Shahrul Adnan, cadangan berkenaan tidak berasaskan fakta sama sekali dan lebih merupakan gangguan politik berbanding kononnya untuk mewujudkan perbicaraan yang telus.
"Untuk makluman, kes yang dirujuk oleh Pas merupakan kes sivil, bukan pendakwaan jenayah. Perdana Menteri tidak menghadapi sebarang pertuduhan jenayah dan beliau kekal menjalankan tugas dengan penuh komitmen serta integriti.
"Adalah penting untuk memahami perbezaan antara saman sivil oleh individu dan kes jenayah yang dibawa oleh pendakwa raya.
"Dalam kes ini, tiada asas undang-undang yang mewajibkan atau menyokong gesaan supaya Perdana Menteri bercuti," katanya dalam satu kenhyataan.
Menurut Shahrul lagi, cadangan seperti itu bukan sahaja mencerminkan kefahaman undang-undang yang lemah, malah memperlihatkan kecenderungan Pas untuk mempolitikkan segala perkara termasuk urusan mahkamah.
"Angkatan Muda Keadilan Klang berpandangan kenyataan Pas hanyalah percubaan ‘desperado’ untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan mereka sendiri, termasuk kegagalan pentadbiran di negeri-negeri yang mereka kuasai serta ketiadaan agenda pembangkang yang konstruktif di peringkat nasional.
"Kami menyeru semua pihak, khususnya Pas agar menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan tidak mencampuradukkan urusan mahkamah dengan percaturan politik jangka pendek," katanya.
Tegas beliau, PM Anwar tidak perlu dipersulitkan tugas memimpin negara dengan saman sivil remeh temeh seperti itu kerana fokus beliau adalah untuk memacu kestabilan dan kemajuan negara.









Comments