Cadangan pindah paksa rakyat Palestin dari Gaza perlu ditentang - MAHAR
- Suara Keadilan
- Feb 5
- 2 min read

Malaysian Humanitarian Aid & Relief (MAHAR) menolak dan mengutuk rancangan pemindahan rakyat Palestin dari wilayah Gaza seperti dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald J Trump.
Pertubuhan bantuan kemanusiaan itu dalam kenyataan berkata rancangan tersebut merupakan satu pelanggaran yang jelas
terhadap hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa, dan maruah asas rakyat Palestin.
Penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar berkata pemindahan paksa rakyat Palestin bukan hanya satu isu untuk mereka sahaja malah ia adalah krisis kemanusiaan yang harus ditentang oleh seluruh dunia.

"Kita tidak boleh membiarkan sejarah mengulangi babak gelapnya dan menjadi tanggungjawab bersama kita untuk memastikan keadilan ditegakkan.
"Pemindahan paksa mana-mana komuniti adalah tidak boleh diterima, dan tindakan ini langsung mengabaikan hak sejarah mereka, seterusnya memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki.
"Pengambilan wilayah secara paksa oleh mana-mana negara ke atas wilayah yang berdaulat, seperti yang diumumkan oleh Presiden Trump, adalah pelanggaran langsung terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip integriti wilayah," kata kenyataan itu hari ini.
MAHAR berkata tindakan sedemikian boleh merosakkan hak negara untuk penentuan nasib sendiri dan kedaulatan serta menambah ketidakstabilan dan konflik.
Rakyat Palestin mempunyai hak mutlak terhadap tanah air mereka dan penentuan nasib sendiri, katanya.
"Sebarang usaha untuk memindahkan atau mengusir mereka secara paksa mesti ditentang secara tegas oleh masyarakat antarabangsa.
"Rancangan ini bukan sahaja tidak adil tetapi juga memperdalam penindasan dan penderitaan terhadap rakyat Palestin yang telah lama mengalami kekejaman," ujarnya.
Dalam pada itu, MAHAR menegaskan ia berdiri teguh dalam solidariti bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka
untuk keadilan, kedaulatan, dan keamanan.
"Kami menyeru pemimpin dunia, badan antarabangsa, dan organisasi hak asasi manusia untuk mengambil tindakan tegas bagi menghentikan pemindahan paksa ini dan menegakkan prinsip-prinsip keadilan dan hak asasi manusia," kata kenyataan itu lagi.
MAHAR juga menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan sokongan terhadap Palestin, menuntut pertanggungjawaban daripada mereka yang bertanggungjawab atas kezaliman selama ini serta berusaha ke arah masa depan rakyat Palestin hidup bermaruah, selamat dan bebas di tanah air mereka yang sah.
Comments