Cadangan letak JWP bawah TPM janggal, tidak berasas
- Suara Keadilan

- Jul 24
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Cadangan supaya Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) diletakkan di bawah seliaan Timbalan Perdana Menteri disifatkan sebagai janggal serta bertentangan dengan struktur pentadbiran negara.
Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah (gambar), berkata saranan dikemukakan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi itu langsung tidak bersandarkan kepada rujukan sejarah mahupun peruntukan sahih.
"Sejak penubuhannya, JWP beroperasi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan tidak pernah diletakkan di bawah portfolio mana-mana Timbalan Perdana Menteri.
"Cadangan ini jelas menunjukkan kelemahan dalam memahami struktur kerajaan semasa," kata beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.
Nurin Aina turut menafikan dakwaan Aliff Firdaus bahawa agensi-agensi utama seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) kini bergerak secara berasingan.
"Kenyataan itu mengelirukan. Ketiga-tiga agensi ini berada di bawah penyelarasan Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan) menerusi Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.
"Manakala Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) pula beroperasi sebagai syarikat berhad menurut jaminan (CLBG), yang mana Menteri bertanggungjawab kepada Wilayah Persekutuan secara automatik dilantik sebagai pengerusi mengikut perlembagaan syarikat tersebut," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu tambah beliau, mana-mana pihak termasuk Pemuda UMNO seharusnya menilai secara objektif pelbagai inisiatif yang sedang digerakkan oleh JWP di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
"Antaranya termasuk Program Usaha Jaya Insan (PUJI) yang terbukti memberi manfaat langsung kepada rakyat dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan dan pelaksanaan visi Bandar CHASE turut sedang dipacu secara bersepadu merentasi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
"Bandar CHASE ialah pendekatan pembangunan berteraskan prinsip Bersih (Clean), Sihat (Healthy), Terkehadapan (Advanced), Selamat (Safe) dan Mesra Alam (Eco-friendly) yang kini sedang diterjemahkan melalui pelbagai projek dan dasar di peringkat tempatan," jelasnya.
Justeru, Nurin Aina mengingatkan bahawa dalam merangka sebarang cadangan dasar khususnya oleh pemimpin muda, kefahaman struktur, ulang kaji yang teliti dan integriti maklumat amatlah penting.
"Kematangan dalam berpolitik memerlukan fakta bukan retorik. Dalam era keterbukaan maklumat, kejujuran intelektual dan ketelitian harus menjadi asas kepada wacana dasar yang sihat.
"Rakyat hari ini menilai berdasarkan keupayaan menyelesaikan masalah sebenar, bukan sekadar lontaran cadangan yang dangkal dan populis," tegasnya.









Comments