Cadangan bagi menukar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada nama asalnya iaitu Universiti Pertanian Malaysia akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau akan membawa cadangan itu ke mesyuarat Jemaah Menteri tidak lama lagi selepas mengambil kira keutamaan negara kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara.
"Saya berhasrat begitu (tukar semula nama), sebab dulu asalnya memang nama UPM adalah Universiti Pertanian. Untuk kembali nama kepada Universiti Pertanian, saya ingat sesuai.
"Barangkali masa tukar nama dulu kita tidak fikir isu ‘climate change’ dan perubahan cuaca, jadi sekarang pertanian sudah jadi isu dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semua bincang pasal pertanian," katanya dipetik Metro.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dan menjadi moderator pada Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS): Sidang Selari 7 bertajuk Keterjaminan Makanan yang diselaraskan oleh UPM di Putrajaya hari ini.
Universiti Pertanian Malaysia ditukar nama kepada Universiti Putra Malaysia pada 3 April 1997 bagi menggambarkan status UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja menawarkan program pengajian dalam bidang pertanian malah bidang lain terutamanya sains dan teknologi maklumat.
UPM yang kini mempunyai 14 fakulti pengajian menawarkan pelbagai program pengajian berkaitan bidang pertanian dan keterjaminan makanan, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pertanian pintar.
Dalam pada itu, Mohamad berkata kerajaan menekankan peranan penting institusi pengajian tinggi (IPT) dalam menyediakan modal insan berkualiti dan teknologi mampan.
"Dengan kerjasama erat antara kerajaan dan IPT, usaha mendidik masyarakat tentang kepentingan keterjaminan makanan dapat diperkukuhkan. IPT merupakan rakan strategik yang mampu menghasilkan tenaga pakar dan teknologi moden untuk kelangsungan sektor pertanian negara," ujarnya.
Saya mendapat tahu bahawa perkataan PUTRA bermaksud "Pertanian Untuk Rakyat" yang dikhabarkan semasa Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang@Homecoming Kali Ke-12 2024, UPM baru-baru ini.
Universiti Putra Malaysia (UPM) disenaraikan antara 100 universiti terbaik dunia dalam bidang Pertanian, Perhutanan dan Pendidikan, mengatasi lebih 2,000 universiti lain di seluruh dunia (https://tinyurl.com/UniPutra). Dari segi kedudukan khusus bidang, UPM telah diiktiraf oleh Kedudukan Shanghai di tempat ke-31 untuk Subjek Sains dan Teknologi Makanan. UPM juga masing-masing diletakkan di tempat ke-42 dan ke-48 oleh US News and World Report: Best Global Universities and NTU World Rankings dalam bidang Sains Pertanian (https://tinyurl.com/UPM-Top).
UPM juga mengekalkan kedudukannya dalam 100 teratas dunia oleh QS World University Rankings mengikut Subjek 2018 untuk mata pelajaran Pertanian dan Perhutanannya selama…