Cadangan hapus peranan eksekutif lantik Ketua Hakim Negara retorik populis
- Suara Keadilan

- Jul 16
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN menyifatkan gesaan pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL) supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menghapuskan sepenuhnya kuasa eksekutif dalam pelantikan kehakiman sebagai kenyataan retorik populis.
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Sabah, Junaidah Makku (gambar) berkata, kenyataan Latheefa itu hanya mengundang persepsi negatif terhadap kestabilan politik negara yang sedang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Hakikatnya, sejak menerajui kerajaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam menjunjung prinsip ketelusan, keadilan dan tadbir urus yang baik termasuk dalam pelantikan kehakiman.
"Beliau tidak pernah menyalahguna kuasa, malah sentiasa memelihara doktrin pengasingan kuasa selaras amalan demokrasi berparlimen," katanya dalam satu kenyataan.
Latheefa Koya membuat gesaan itu semalam susulan kebocoran yang didakwa dokumen mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Bagaimanapun tidak lama selepas membuat gesaan itu, Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi tampil dan berkata, Latheefa sebagai bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak wajar mempersoalkan sistem itu kerana turut dinikmatinya ketika dilantik mengetuai SPRM oleh pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2019.
Sementara itu Junaidah dalam kenyataannya menegaskan, isu sebenar reformasi kehakiman bukan semata-mata berkaitan mekanisme pelantikan.
Sebaliknya ia melibatkan akses kepada keadilan, keberkesanan sistem perundangan serta sensitiviti terhadap keperluan komuniti rentan termasuk wanita luar bandar.
"Mekanisme pelantikan sedia ada membolehkan keseimbangan perwakilan melalui saluran kerajaan persekutuan dan negeri.
"Mengubahnya secara drastik tanpa penelitian hanya akan menjejaskan reformasi institusi yang sedang diperkukuh Kerajaan Madani hari ini dan boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan hubungan diplomatik negara.
"Latheefa seharusnya lebih berhati-hati. Wanita KEADILAN, khususnya di Sabah menolak agenda yang melemahkan kestabilan institusi, mengganggu reformasi atau membuka ruang manipulasi politik," tambahnya.









Comments