Cabaran Membangun Usahawan MADANI: Reformasi Agenda Pembangunan INSKEN
- Suara Keadilan

- May 8
- 7 min read

Oleh: Datuk Mustaffa Kamil Ayub
(Pengerusi, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN))
Pengalaman Tamadun Empayar Melayu Melaka menyaksikan bahawa orang Melayu Pribumi adalah bangsa pedagang, pelaut dan pahlawan handal.
Menurut Tom Pires, Meilink Reolofsz dan Fahmi Baharudin bahawa pelabuhan Melaka adalah terkaya dan tersibuk di dunia ketika itu hingga menarik pedagang-pedagang Arab, India, China dan kemudiannya Eropah.
Dalam satu-satu masa 2,000 kapal boleh berlabuh, 84 bahasa dipertuturkan dengan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serta lebih 60 bangsa berinteraksi di sana.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kabinet bagi Pembangunan Usahawan amat menekankan kepentingan pembangunan keusahawanan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).
Dalam Amanat Tahun 2026 Menteri KUSKOP Steven Sim, beliau juga mengungkapkan perkara yang sama dengan kemudiannya meminta pendekatan ABCD dalam menekuni usahawan Madani hari ini. Menangani cabaran membangun usahawan Madani hari ini di abad ke 21, sesungguhnya memerlukan kesungguhan, kesabaran dan strategi yang ampuh.
Membangun usahawan yang menghayati 6 rukun MADANI (kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan) serta menatijahkan lahirnya usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing, berdaya juang dan berdaya maju amatlah didambakan.
Reformasi Agenda Pembangunan INSKEN 2026-2030 (RAPI 2026-2030) yang merupakan institusi negara yang terpenting dalam membangun usahawan dan telah berada di seluruh pelusuk Malaysia dan persada antarabangsa sejak 2 dasawarsa (20 tahun) lalu amatlah penting dilakukan.
Cabaran Membangun Usahawan Madani Global Abad 21
Ada sejumlah cabaran dalam membangun usahawan Madani Global Abad 21, antaranya adalah;
1. Menggilap mindset keusahawanan rakyat terutamanya Melayu.
2. Memantapkan skil pengurusan kewangan peribadi dan perniagaan secara berasingan.
3. Menyebarluaskan pemahaman ekosistem keusahawanan Negara
4. Memastikan modal awal, peningkatan modal perniagaan dan model Waqaf Global Keusahawanan dipertingkatkan atau diwujudkan.
5. Memastikan ilmu asas dan peningkatkan ilmu keusahawanan dilakukan secara berterusan.
6. Diwujudkan Mentor-Mantee keusahawanan dan sektor korporat.
7. Memahami model kegemilangan keusahawanan Melayu Melaka dan model Abad 21 serta sasarannya.
8. Meneroka "Deep Dive" industri kritikal semasa dan akan datang.
9. Mengadakan pertemuan@Usrah mingguan/bulanan usahawan dalam mengekalkan motivasi dan perkongsian menangani kegagalan dan langkah melonjakkan keusahawanan.
10. Menembusi pasaran antarabangsa, GO ASEAN GO GLOBAL, dengan persiapan secukupnya.
11. Menerbitkan dokumentari mengenai Gerakan Membangun Usahawan Madani Abad 21 (GEMA21) yang berimpak tinggi.
12. Melakar strategi pembudayaan keusahawanan dan langkah strategik korporat dan peningkatan ekuiti.
Penghayatan Watak Usahawan Madani
Usahawan MADANI ialah individu atau organisasi yang menjadikan nilai-nilai MADANI sebagai teras dalam setiap amalan dan keputusan perniagaan.

Berikut cara mengamalkannya dalam konteks sebenar :
M – KEMAMPANAN (Sustainability). Usahawan yang menjaga keseimbangan ekonomi, sosial, dan alam sekitar. Gunakan bahan mesra alam, tenaga boleh diperbaharui dan elak pembaziran. Pastikan perniagaan tidak menindas pekerja atau komuniti. 2
A – KESEJAHTERAAN (Prosperity & Well-being). Keuntungan dikongsi untuk kesejahteraan bersama. Wujudkan peluang kerja kepada golongan B40, OKU dan ibu tunggal. Sumbangkan sebahagian hasil kepada pembangunan komuniti.
D – DAYA CIPTA (Innovation). Inovasi digunakan untuk menyelesaikan masalah masyarakat. Cipta produk atau perkhidmatan yang membantu menyelesaikan isu sosial seperti kesihatan, pendidikan, makanan sihat dan lain-lain.
A – HORMAT (Respect). Hormati pelanggan, pekerja, dan komuniti dengan adil. Amalkan integriti, tidak menipu pelanggan, jaga hak pekerja dan elak eksploitasi.
N – IHSAN (Compassion). Menjalankan perniagaan dengan empati dan kasih sayang. Utamakan kualiti hidup pekerja & pelanggan, bukan hanya keuntungan. Bantu komuniti ketika krisis (contoh: banjir, pandemik).
I – KEYAKINAN (Trust & Integrity). Nilai amanah dan ketelusan dalam setiap urusan. Elak rasuah, telus dalam kewangan, jujur dalam urus niaga dan komunikasi sosial. "Usahawan MADANI bukan sekadar mencari keuntungan, tetapi memastikan setiap aktiviti perniagaan membawa rahmat kepada manusia dan alam."
Realiti Revolusi Ekonomi Digital Malaysia
Pertumbuhan ekonomi digital nasional bagi beberapa tahun mutakhir;
• Jumlah pendapatan 2024, RM 1.23 trilion
• Jumlah pendapatan 2025, RM1.65 trilion
• Jumlah bungkusan 3.5 juta sehari bagi seluruh pelusuk Malaysia. Cabaran bagi Bumiputra dalam persoalan ini adalah;
• Akses terhad kepada skala platfom digital.
• Kelemahan logistik dan kesempurnaan rangkaian lengkap.
• Adopsi kecelikan digital yang masih rendah.
Reformasi Agenda Pembangunan INSKEN 2026-2030 (RAPI 2026-2030)
Diperingkat Nasional, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara telahpun melancarkan Agenda Reformasi Pentadbiran Negara.
Amat wajar, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) sebagai institusi penting negara mengatur langkah yang sama. Pencapaian INSKEN hingga kini amat memberangsangkan.
Sasaran awal sentuhan pembangunan usahawan setahun 10,000 meningkat kepada 13,000 (2024) dan 25,000 (2025). Manakala beberapa inisiatif baharu dimulakan seumpama Pusat Rujukan Inklusif Usahawan Madani (PRIME), pewujudan Alumni INSKEN, Anugerah Usahawan Madani INSKEN (AUMI), pemerkasaan Keusahawanan Sosial (SE), Global Fellowship INSKEN (GFI) dan seumpamanya.
Namun bersandarkan semangat "KAIZEN", continuous improvement, semaul undung, fukoku kohei dan room for improvement mendambakan kesediaan mengejar kecemerlangan secara berterusan. Beberapa elemen RAPI tersebut dapat disenaraikan sama ada dimantapkan, diwujudkan atau diperkasakan seperti berikut :
1. Pemantapan Visi Dan Moto INSKEN
Penstrukturan semula agar lebih ringkas, mudah diingati, dan selari dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030). Rumuskan 1–2 ayat “Value Proposition INSKEN” untuk membezakan INSKEN daripada agensi pembangunan usahawan lain.
2. Sasaran Pencapaian Strategik
INSKEN 2026-2030. KPI berasaskan impak, bukan semata-mata jumlah aktiviti. 5 teras strategik :
i) Kecemerlangan modul latihan
ii) Transformasi usahawan M40 & B40
iii) Pendigitalan & AI Penjanaan hasil (revenue generation)
iv) Penyelarasan nasional melalui PRIME & COE
3. Pemerkasaan Agenda Membangun Usahawan Melayu– Bumiputera
Selaras dengan KEB 2024, PUTERA35, dan seumpamanya.
• Peningkatan ekuiti Bumiputra.
• Sektor kritikal penglibatan Bumiputra
• Penyusunan flagship program 2026-2030 mengikut kluster: makanan, peruncitan, servis, digital, agro, wanita, belia dan veteran.
• Pemetaan semula rantaian nilai (value chain mapping) untuk mengetahui jurang sebenar.
4. Dashboard INSKEN Menggapai DKN 2030
• Dashboard masa nyata (real-time) untuk menjejak KPI, alumni, M&E, pendigitalan, lokasi peserta.
• Integrasi dengan MyDigital, eKasih, SSM, dan data agensi seperti SME Corp. dalam membina data raya dan ekosistem.
5. Pejabat Baharu & Susunannya
• Konsep pejabat moden dengan hot-desking, studio rakaman latihan digital, pusat kaunseling usahawan, dan pusat arahan PRIME.
• Sistem pergerakan staf berdasarkan zon fokus.
6. Struktur dan Imej Perjawatan
• Penjenamaan semula jawatan (misalnya “Penyelaras Usahawan Nasional”, “Pegawai Pembangunan Usahawan Digital”, “Pegawai PRIME”) dan seumpamanya.
• Reformasi gred, laluan kerjaya, kompetensi wajib dan latihan mandatori.
7. Sambutan Dua Dasawarsa INSKEN
Cadangan aktiviti:
• Pameran 100 Ikon Alumni INSKEN.
• Jelajah 20 Bandar.
• Buku Coffee Table INSKEN, buku ilmiah Keusahawanan
• Pelancaran lagu korporat INSKEN.
• Video dokumentari “20 Tahun Reformasi Usahawan”.
8. Pewujudan Centre of Excellence (COE) INSKEN
Contoh COE:
• COE Agentic Marketing System
• COE SE
• COE Keusahawanan TVET
• COE Runcit Melayu
• COE Agropreneur & Foodpreneur • COE Digital & AI Usahawan
• COE Wanita & Veteran Usahawan 5 Fungsi COE adalah penyelidikan, pembangunan modul, train-the-trainer dan penanda aras nasional.
9. Pemerkasaan Kampus Sabah & Sarawak
• Infrastruktur latihan hibrid & mini studio. • Tenaga pakar tempatan, modul mengikut budaya & konteks negeri.
• Program khas untuk komuniti pendalaman & usahawan desa.
10. Pewujudan Meja INSKEN Negeri-Negeri Semenanjung / Prime Negeri
• Setiap negeri ada 1 Meja INSKEN di Pejabat PBT / Pejabat Dewan Perniagaan / Pusat Ekonomi Digital.
Fungsi: One-stop advisory, rujukan modul, rujukan bantuan kewangan.
11. Pelancaran Prime INSKEN Seluruh Daerah
• PRIME Daerah disusun seperti pejabat pembangunan Usahawan mini dan menjadi “one stop centre”.
• Kelayakan Ketua PRIME: latihan wajib, KPI ketat, 100 usahawan naik taraf setiap tahun.
12. Pemerkasaan Rangkaian Alumni INSKEN/ Unit Alumni INSKEN
• Pendaftaran semula alumni seluruh negara.
• Wujudkan Persatuan Alumni INSKEN
• Platform “Marketplace Alumni”.
• 10 program tahunan (coaching, pemasaran, eksport asas).
13. Global Fellowship & Membership INSKEN
• Fellow INSKEN untuk pakar sektor (retail, agro, branding dan digital) daripada tokoh-tokoh global dan nasional.
• Membership/Keahlian INSKEN untuk usahawan aktif dengan manfaat khas (kelas percuma, e-voucher latihan, komuniti).
• Konferensi antarabangsa setiap 2 tahun 6
14. Cadangan Tambahan
A. Penjenamaan Baharu INSKEN 2026
• Logo diperkemas.
• Tagline baharu.
• Video korporat baharu.
• Uniform korporat baharu.
• Rancangan media sosial profesional (Reels, TikTok, dokumentari mini).
B. Sistem Penilaian IMPAK Usahawan (Impact Measurement Framework)
Bukan sekadar bilangan peserta & program, namun pool peserta juga ditambah melalui medsos. Penilaian berdasarkan :
• Kenaikan jualan,
• Peningkatan keuntungan,
• Pertambahan pekerja,
• Lonjakan digitalisasi,
• Keupayaan eksport,
• Kelangsungan perniagaan
C. Pelan Digitalisasi & AI untuk INSKEN
• Chatbot INSKEN “NadiUsahawan”.
• Sistem rekod peserta automatik.
• Pembangunan modul video self-paced learning.
• AI Matching Program — padankan peserta dengan jurulatih terbaik.
D. Latihan Mandatori Pembangunan Kompetensi Staf INSKEN
• Kepimpinan strategik,
• Analisis data,
• Psikologi usahawan,
• Teknik facilitation dan coaching,
• Komunikasi digital profesional.
E. Pelan Kewangan & Penjanaan Pendapatan (Revenue Model)
• Kursus premium,
• Sijil Profesional INSKEN,
• Kerjasama industri (industry sponsorship), • Konsultansi berbayar, 7
• Jualan buku & modul
F. Penyelarasan & kerjasama antara Agensi dan NGO
• INSKEN & SME Corp & TERAJU & MARA & PUNB & dll.
• INSKEN & ANGKASA & DEWAN PERNIAGAAN & dll.
• Penyatuan modul & pangkalan data
G. Keselamatan, Risiko & Pengurusan Krisis
• SOP kecemasan, risiko bencana, risiko reputasi dan risiko kewangan.
H. Pengemasan Jawatankuasa Audit Dalaman & Tadbir Urus
• Untuk profesionalisme & kepercayaan awam.
I. Program Usahawan Khas Komuniti Rentan / Sosial
• Ibu tunggal, OKU, belia risiko, veteran.
• Program berimpak sosial tinggi SE.
J. Pengukuhan Reputasi INSKEN di Peringkat ASEAN & Global, GO ASEAN GO GLOBAL.
• Multilateral collaboration,
• Kursus “ASEAN SME Leadership”,
• Festival Saudagar Alam Melayu,
• IGNITE, dll
• Pensijilan bersama universiti tempatan dan luar negara
Perkasa Keusahawanan Bersama Majlis Pembangunan Ekosistem Keusahawanan Negara
Adalah dicadangkan bagi kewujudan Majlis Pembangunan Ekosistem Keusahawanan Negara yang langsung di bawah TPM merangkap Pengerusi JK Kabinet bagi Pembangunan Usahawan.
Ini penting bagi menyelaraskan kira 66 agensi yang terkait dengan pembangunan keusahawanan, juga NGO-NGO keusahawanan dan seumpamanya.
Seluruh Rakyat Malaysia mesti didedahkan dengan kewujudan pelbagai agensi ini sekaligus usaha menggarap Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030) dapat dilakukan.
Penutup
Sesungguhnya kita semestinya terhimbau dengan seruan Al Quran Ar Ra’d ayat 11 "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali mereka merubahnya sendiri".
Presiden Korea Selatan dalam lawatan ke Malaysia 1970an selepas terlihat ayat ini terus melancarkan "semaul undung" di Korea.
Semangat belajar yang berterusan sewajarnya menjadi penghayatan, "seeking knowledge from cradle to grave yard, Minal mahdi ilal lahdi, hue tau lau sue tau lau, kalvi pirapu muthal yirapu varai "
Bersama kita rumuskan dengan pantun Melayu,
Lama sudah tidak bertemu,
Dengan dia sijantung hati,
Jom jadi Usahawan berilmu,
Nilai integriti mesti dihayati.
Bermain buaian laju-laju,
Jangan terlanggar batang kelapa,
Apabila usahawan sudah maju,
Zakat dan cukai jangan dilupa.
Penduduk desa gigih bertani,
Di tepi bendang menjamu selera,
Mari membangun usahawan Madani,
Demi menyahut seruan Negara.
Kerjasama, kolaborasi dan muafakat bersama amat didambakan dalam menjayakan RAPI. Semoga Allah SWT memberkati usaha murni kita bersama.




Comments