top of page

Cabaran media sosial: SEKPUR desak perundangan berkaitan 3R ditambahbaik

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 2 days ago
  • 1 min read

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) mendesak kerangka perundangan negara berkaitan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) ditambahbaik bagi mendepani trend penyalahgunaan media sosial yang semakin kompleks.


Ketua Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embon (gambar) berkata pendekatan sedia ada perlu diperhalusi bagi memastikan sistem keadilan bukan sahaja bersifat menghukum, malah mampu memberi pengajaran yang bermakna kepada masyarakat.


"Peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948 dengan kadar denda maksimum RM5,000 ketika ini dilihat tidak selari dengan impak kerosakan yang boleh dicetuskan oleh hantaran yang tular menerusi media sosial.


"Langkah memperkasakan undang-undang ini termasuk mempertimbangkan hukuman penjara mandatori bagi kes-kes serius melibatkan kedaulatan institusi raja adalah perlu bagi mencerminkan kepentingan memelihara keharmonian nasional," katanya.


Sementara itu, sebagai membendung budaya provokasi melampau, Shahbudin turut mencadangkan skop perlindungan diteliti semula agar turut merangkumi institusi kepimpinan utama negara termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.


Beliau pada masa sama menyarankan kerjasama yang lebih erat antara pihak berkuasa dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memantau aktiviti akaun palsu yang sering menjadi punca kepada ketegangan kaum dan agama.


"Mengambil iktibar daripada amalan perundangan di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, ketegasan undang-undang di sana terbukti menjadi instrumen penting dalam memelihara maruah institusi tertinggi negara masing-masing," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page