Cabaran besar di 3 negeri lingkaran Melayu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lepas tidak akan mematahkan semangat Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia untuk bangkit melawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Julai ini.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Adam Adli Abdul Halim, kekalahan teruk di Kedah, Kelantan dan Terengganu mampu ditebus dalam PRN akan datang jika berkerja kuat dan kerajaan mampu menunjukkan perubahan yang dibawa.
"Bila kita terajui kerajaan masyarakat mahu melihat bagaimana parti memperjuangkan mereka
"(Dalam parti pula) komunikasi tidak hanya dari atas ke bawah tetapi dari bawah ke atas. Pastikan kerja penerangan kita dapat disatukan, pastikan bila kita berhadapan dalam PRN, kita bukan hanya gah sebagai nama kerajaan tetapi wadah perjuangan yang mahu mengangkat nasib rakyat kebanyakan.
"Kita di kedah, banyak cabaran, hampir dibenam 100%. Kita yakin kita mampu bangkit semula. Kelantan sejak dahulu satu parti tunggal memerintah bersendirian. Namun kita yakin di mana ada kemiskinan (Kelantan) rakyat perlu pembangunan dan inilah fungsi kita.
"Di Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kita punya asas kukuh. Cuma kita pastikan pertahanan kita baik dan serangan tajam. Kita boleh lakukan ini bersama," katanya dalam Kongres Nasional Khas KEADILAN di Shah Alam petang ini.
Sebelum itu, katanya, AMK telah menunjukkan pretasi yang baik dalam PRU ke 15 dengan 4 daripada 6 calon telah menang dan bergelar Ahli Parlimen.
"Dari enam orang dalam PRU lepas dari AMK, 4 berjaya menang menyumbang kerusi untuk akhirnya kita membentuk kerajaan memerintah negara.
"4 orang ini signifikan, satu kerusi KEADILAN di Sarawak, calon AMK. Negeri Kedah satu satunya calon yang menang dari AMK, Melaka satu calon menang dan seterusnya di Kuala Lumpur, kerusi Batu," katanya.
Oleh itu, Adam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berharap dalam PRN 3 bulan akan datang AMK akan menunjukkan prestasi yang baik bila diturunkan di peringkat negeri.
Comments