top of page

Cabar bertumbuk: MAPIM kecam Ahli Parlimen abaikan titah Agong

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 15
  • 2 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menzahirkan rasa bimbang terhadap perilaku segelintir Ahli Parlimen mengabaikan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong agar perbahasan di Dewan Rakyat dijalankan dengan tertib dan berhemah.


Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, insiden terbaharu melibatkan seorang Ahli Parlimen yang didakwa telah mencabar Ahli Parlimen lain untuk bergaduh di luar Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan merupakan satu perkara memalukan.


Tindakan itu, katanya, bukan sahaja tidak beradab malah telah mencemar imej institusi Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi negara.


"MAPIM bimbang perbahasan yang sepatutnya fokus kepada dasar dan isu rakyat kini bertukar menjadi medan sindiran peribadi, penghinaan, dan provokasi fizikal.


"Parlimen sepatutnya menjadi medan hujah berasaskan fakta, bukannya gelanggang pergaduhan jalanan yang sekali gus merendahkan maruah negara di mata masyarakat antarabangsa," tegasnya dalam satu kenyataan.


Dalam kenyataan sama beliau turut menyatakan rasa khuatir kepada normalisasi bahasa kesat serta politik kebencian digunakan yang berpotensi menular ke ruang awam.


Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi laporan media kelmarin menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan serangan fizikal membabitkan Ahli Dewan.


Beliau telah mengarahkan unit video dan audio untuk menyerahkan rakaman kepadanya dan akan mengenakan tindakan tegas sekiranya sekiranya perkara itu terbukti wujud.

Sementara itu Mohd Azmi berkata, pihaknya menggesa tindakan disiplin lebih tegas terhadap mana-mana anggota yang melanggar peraturan mesyuarat, selain mendesak parti politik mendisiplinkan wakil rakyat mereka dan memberi latihan adab berparlimen.


"Rakyat digesa supaya menuntut wakil yang berhemah dan berfokus kepada kepentingan negara, bukan mencari populariti melalui provokasi atau cabaran fizikal.


"Jika Parlimen terus menjadi arena paling tidak beradab, wibawa institusi demokrasi akan runtuh dan rakyatlah yang menjadi mangsa politik yang membusuk," katanya.


Beliau menutup kenyataan dengan pesanan: “Adab mendahului ilmu, ilmu mendahului tindakan.”

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page