
Penduduk Taman Batu 3 Jalan Bangi Semenyih yang menghadapi masalah kediaman diperuntukkan buat mereka sejak 2018 tetapi tidak mempunyai hak milik cuba dibantu oleh KEADILAN Cabang Hulu Langat.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Hulu Langat, Rajen Munusamy, penduduk yang asalnya merupakan pekerja Ladang Dunedin, Semenyih dan dipindahkan ke kawasan baharu itu mahu masalah hak milik rumah mereka segera diselesaikan dan beberapa masalah lain mengenai kediaman ditangani oleh syarikat pemaju.
"(Dalam hal ini) saya telah meminta Ramachandran Arjenan, Ahli Majlis MPKJ merangkap AJK Cabang KEADILAN Hulu Langat untuk menyemak situasi sebenar berkenaan kawasan penempatan tersebut.

"Hasil semakan beliau di MPKJ mendapati tapak perumahan itu hanya mendapat kelulusan Kebenaran Merancang namun tidak menepati sebarang spesifikasi dan gagal mendapatkan kelulusan CF / CCC sebagai perakuan daripada pihak PBT
"Maka permasalahan ini telah dibangkitkan diperingkat MPKj. Namun berikutan pematuhan kepada beberapa dasar KPKT, penyelesaian terhadap perkara ini masih tergantung buat beberapa lama
"Sehubungan itu, perkara ini telah saya rujuk kepada YB Tuan Ganabatirau, Exco Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pegawai Penyelaras DUN Semenyih dan berusaha untuk menarik perhatian beliau bagi membantu memudahcara urusan perbincangan serta mendengar sendiri suara penduduk mengenai permasalahan yang dihadapi selama ini," katanya.
Justeru baru baru ini, kata Rajen, satu lawatan tapak telah dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beberapa pimpinan KEADILAN.
Menurutnya beberapa pegawai PBT terlibat dalam lawatan itu seperti En Izlan, Pengarah Jabatan Korporat Dan Perhubungan Awam MPKj, Pegawai-Pegawai MPKj mewakili Jabatan Perancang Pembangunan, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran Dan Kesihatan, Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Kawalan Bangunan Dan Jabatan Kejuruteraan.
Juga ikut serta Saudara Visu, Ketua AMK Cabang, En Nadesan, Ketua Komuniti India DUN Semenyih merangkap AJK Cabang dan Pn Nor Zulaila Abd Ghani, Pengurus PKM Penyelaras DUN Semenyih.

"Melalui lawatan ini, Cabang KEADILAN Hulu Langat akan berusaha untuk memberikan nafas baharu dan membantu mencapai penyelesaian berkaitan masalah ini dalam masa yang terdekat. Serta satu mesyuarat bersama wakil penduduk, pemaju dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat akan diselaraskan pada bulan Julai ini," katanya lagi.
Dalam lawatan itu juga penduduk telah membangkitkan masalah infrastruktur seperti bumbung yang bocor, keretakan dinding dan siling, ketiadaan tangki septik dan saliran kumbahan yang wajar menyebabkan kumbahan najis "backflow" masuk ke rumah apabila hujan berikutan disalirkan ke longkang belakang rumah.
Juga spesifikasi longkang yang tidak menepati syarat hingga menyebabkan air bertakung dan menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes serta penularan wabak denggi termasuk isu perwartaan tapak kuil dan gereja.
Comments