Busana kontroversi: Pihak pengajur AJL perlu tetapkan kod berpakaian
- Suara Keadilan

- Feb 18
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pihak pengurusan yang menerbitkan pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) digesa menetapkan kod pakaian yang lebih jelas pada masa akan datang bagi mengelakkan kontroversi artis berpakaian tidak sesuai berulang.
Pengerusi Biro Kesenian dan Kebudayaan Parti Amanah Negara (AMANAH), Wan Anwar Wan Ibrahim berpendapat, penganjur perlu memastikan pakaian yang dipakai selebriti, peminat atau penonton tidak melampaui batas dan masih menghormati norma masyarakat tempatan.
"Gaya pemakaian ala busana wanita yang dipakai oleh penonton atau peminat lelaki amat membimbangkan.
"Malaysia mempunyai adat dan norma budaya yang kuat, di mana pemakaian lelaki dan wanita mempunyai perbezaan yang jelas.
"Fesyen yang menampilkan lelaki berpakaian seperti wanita dilihat bertentangan dengan nilai yang dipegang oleh majoriti rakyat Malaysia, termasuk prinsip dalam Islam dan budaya Melayu," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Wan Anwar lagi, pemakaian seperti itu bukan sahaja menenggelamkan pencapaian artis dan lagu yang bertanding, malah menjadikan AJL sebagai acara fesyen yang penuh kontroversi.
Katanya, Majlis Agama Islam juga boleh berperanan dalam menangani gejala tidak sihat itu melalui peruntukan enakmen atau akta syariah dan mekanisme fatwa yang sedia ada.
"Sensitiviti masyarakat harus dihormati agar anugerah sebesar AJL ini tidak kehilangan identiti dan relevansi dalam industri hiburan tanah air.
"Saya melihat mereka yang memilih berpakaian sedemikian mungkin bukan kerana gaya atau ekspresi seni, tetapi hanya untuk mencipta kontroversi dan menarik perhatian media serta netizen.
"Ini menjadikan AJL lebih kepada pentas 'mencari publisiti' daripada acara penghargaan muzik yang sebenar," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berpandangan AJL seharusnya menjadi medan untuk meraikan muzik dan bakat artis .
Namun katanya, perhatian kini lebih tertumpu kepada pakaian aneh dan 'songsang' yang digayakan.
"Pemakaian lelaki dengan gaya feminin sering dikaitkan dengan budaya hiburan barat yang semakin normal dalam industri fesyen antarabangsa.
"Jika dibiarkan tanpa kawalan, ia boleh memberi kesan kepada generasi muda yang mudah terpengaruh dengan nilai yang tidak sejajar dengan budaya Malaysia," ujarnya lagi.









Comments