
Oleh: Akmal Manaf
Susulan permohonan maaf stesen penyiaran TV3 terhadap kecuaian pengendalian acara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 sehingga terjadinya insiden lelaki berbusana atau berpakaian menyerupai wanita pada majlis tersebut, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Najwan Halimi berkata hal tesebut perlu dielakkan daripada terjadi lagi pada masa depan.
Beliau menegaskan fahaman dan budaya berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) harus dibanteras dan tidak wajar dibiarkan merebak di negara ini.
"Saya hargai permohonan maaf yang dizahirkan oleh @tv3malaysia terkait isu yang menyinggung banyak pihak terutamanya orang Melayu dan umat Islam," katanya dalam ciapan di X hari ini.
Sehubungan itu, Najwan mahu stesen penyiaran mahupun rakyat biasa tidak berkompromi dengan budaya yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap masyarakat itu.
"Justeru, adalah mustahak agar setiap agensi khususnya jabatan agama dan pihak media memainkan peranan dalam mengekang penularan serta menyekat sebarang usaha menormalisasikan fahaman dan budaya jijik ini.
"Fahaman dan budaya LGBT yang selama ini berkembang pesat di negara-negara barat kini terbukti telah mendatangkan kemudaratan serta menimbulkan banyak kerosakan terhadap masyarakat dan institusi keluarga," tegas beliau lagi.
Pada 17 Februari lalu, Najwan melalui hantaran di X menyifatkan perlakuan kontroversi ketika acara AJL ke-39 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebagai 'biadap dan memualkan'.
Pertandingan nyanyian berprestij yang diadakan pada 16 Februari lalu itu, mengundang kontroversi apabila tular rakaman video beberapa lelaki berpakaian ala wanita pada acara berkenaan sehingga mengundang kecaman masyarakat.
Comments