top of page

Buli, rogol pelajar: Keruntuhan nilai sosial, semua pihak bertanggungjawab

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 15
  • 2 min read

ree

Kes-kes buli, rogol dan keganasan sesama pelajar yang berlaku kebelakangan ini merupakan krisis nilai sosial yang serius dan hal itu tidak boleh dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak.


Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, insiden tragis membabitkan pelajar bukan lagi sekadar isu disiplin sekolah, sebaliknya mencerminkan keruntuhan nilai moral masyarakat dan kegagalan sistem sosial dalam mendidik generasi muda.


"Kes-kes terkini membabitkan pelajar membuli, merogol dan membunuh sesama pelajar amat membimbangkan dan menggerunkan.


"Ini bukan lagi isu disiplin sekolah semata-mata, tetapi petanda keruntuhan nilai sosial dan kegagalan sistem pendidikan moral masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mahfuz berkata, masyarakat tidak wajar meletakkan beban sepenuhnya kepada pihak sekolah atau Kementerian Pendidikan semata-mata kerana pembentukan nilai dan sahsiah pelajar bermula dari rumah dan persekitaran sosial mereka.


"Realitinya, anak-anak datang ke sekolah membawa nilai, sikap dan emosi yang dibentuk oleh rumah dan persekitaran sosial. Bila nilai kekeluargaan semakin longgar dan rasa malu hilang dalam masyarakat, sekolah menjadi tempat menanggung akibatnya," jelasnya.


Beliau menegaskan bahawa krisis sosial ini merupakan kegagalan kolektif melibatkan ibu bapa, guru, PIBG dan komuniti, apabila tanggungjawab mendidik semakin dipinggirkan oleh desakan hidup dan beban pentadbiran sekolah.


"Ibu bapa hilang masa untuk mendidik kerana desakan hidup. Guru terbeban dengan urusan pentadbiran hingga peranan membentuk akhlak terpinggir. PIBG dan komuniti pula tidak lagi menjadi jambatan sosial, sebaliknya hanya muncul bila timbul masalah," katanya.


Mahfuz turut menegur keras tindakan segelintir ahli politik yang kebelakangan ini cuba mengambil kesempatan dengan memanipulasi tragedi sosial untuk menyerang kerajaan.


"Amatlah tidak bertanggungjawab apabila ada ahli politik yang cuba mempolitikkan tragedi sosial ini semata-mata untuk menyerang kerajaan atau mencari modal politik murahan.


"Anak-anak bukan bahan politik, dan sekolah bukan gelanggang perebutan kuasa," tegasnya.


Beliau menyarankan agar kerajaan memperkukuh pendidikan sahsiah, nilai dan kemahiran emosi (EQ) di setiap peringkat persekolahan, selain menjadikan pendidikan kekeluargaan dan komuniti sebagai agenda nasional bagi memperkukuh tanggungjawab bersama dalam mendidik generasi muda.


"Kita mesti berani mengakui bahawa keruntuhan nilai sosial adalah ancaman sebenar kepada masa depan negara. Membangun generasi berilmu tanpa membina akhlak adalah seperti membina rumah tanpa asas — akhirnya roboh bersama masa dan maruah bangsa," kata Mahfuz lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page