Buli: KBS tidak kompromi, sedia gantung, buang pelajar IKBN Miri
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak sesekali berkompromi dengan budaya buli, malah bersedia menggantung atau membuang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang terlibat berdasarkan peraturan dan tatacara yang sedang berkuat kuasa.
Penegasan tersebut dibuat susulan rakaman video memaparkan insiden membabitkan sekumpulan pelajar IKBN melakukan tindakan kekerasan fizikal terhadap seorang pelajar lain.
KBS menerusi satu kenyataan menegaskan, tiada ruang untuk menjadikan kekerasan fizikal sebagai gurauan atau tradisi di Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).
"KBS memandang serius perbuatan ini kerana ia menyentuh isu keselamatan, maruah dan disiplin yang menjadi asas kepada semua ILKBS.
"Buli bukan sekadar salah laku individu, tetapi ancaman kepada budaya pembelajaran yang sihat dan selamat," kata kementerian itu.
KBS berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 19 September lalu di IKBN Miri sekitar jam 4.30 petang.
Menurut KBS, pihak IKBN Miri hanya menerima laporan menerusi media sosial pada 22 September 2025 dan terus mengambil tindakan siasatan segera termasuk menjalin kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Comments