Buli: Cukuplah, jangan biarkan anak-anak takut ke sekolah - Yuneswaran
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 3 min read

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj, meluahkan kesedihan, kekesalan dan kemarahan berhubung pemergian mendiang Keziah Nisha, pelajar berusia 14 tahun yang dikaitkan dengan dakwaan buli.
Beliau berkata, sekolah sepatutnya menjadi ruang paling selamat untuk kanak-kanak belajar, membesar, membina persahabatan dan mengejar cita-cita, bukannya tempat yang menimbulkan ketakutan.
“Sukar untuk saya menerima apabila sebuah sekolah, tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat untuk anak-anak kita belajar, membesar, membina persahabatan dan mengejar cita-cita, kini dikaitkan dengan dakwaan buli, termasuk kata-kata berunsur perkauman,” katanya dalam muat naik di media sosial.
Bagaimanapun, Yuneswaran berkata beliau tidak mahu mendahului siasatan pihak berkuasa dan menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh, profesional dan tanpa prejudis bagi menentukan perkara sebenar yang berlaku.
Katanya, setiap dakwaan berkaitan buli, penghinaan atau unsur perkauman perlu disiasat sehingga ke akar umbi.
"Jika siasatan mendapati terdapat mana-mana individu yang terlibat melakukan buli, intimidasi, penghinaan berunsur perkauman atau apa-apa perbuatan yang melanggar undang-undang dan peraturan sekolah, saya menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil tindakan yang tegas, keras dan tanpa kompromi mengikut bidang kuasa yang ada," katanya.

Beliau menegaskan tidak seharusnya wujud usaha melindungi mana-mana pihak atau budaya menyapu sesuatu kejadian di bawah karpet, terutama sekiranya terdapat unsur perkauman dalam kejadian berkenaan.
"Tidak boleh ada sikap menganggap kata-kata menghina seorang kanak-kanak sebagai sekadar ‘gurauan’. Buli bukan gurauan. Rasisme juga bukan gurauan," katanya.
Menurut Yuneswaran, kata-kata boleh meninggalkan luka yang tidak kelihatan, khususnya apabila ditujukan kepada kanak-kanak yang sedang membesar dan mencari tempatnya dalam dunia.
Beliau turut mengaitkan kes berkenaan dengan tragedi yang menimpa arwah Zara Qairina, yang menurutnya telah membuka mata seluruh negara terhadap keseriusan isu buli dalam kalangan pelajar serta pentingnya setiap aduan daripada kanak-kanak didengar dan ditangani segera.
"Kita tidak boleh menunggu satu lagi tragedi sebelum bertindak," katanya.
Yuneswaran turut menegaskan pendiriannya dalam isu berkenaan kerana mahukan semua anak Malaysia mendapat keyakinan untuk tumbuh dan membesar dalam persekitarannya.
"Saya marah bukan kerana Keziah datang daripada kaum tertentu. Saya marah kerana Keziah ialah seorang anak Malaysia.
"Sama ada mangsanya Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli atau daripada mana-mana latar belakang sekalipun, pendirian saya tetap sama," katanya.
Beliau berkata tiada seorang pun anak Malaysia sepatutnya dihina, dibuli atau dibuat berasa rendah diri hanya kerana nama, warna kulit, bahasa, agama atau keturunan.
Katanya, masyarakat juga perlu bertanya dari mana kanak-kanak belajar merendahkan rakan mereka berdasarkan kaum, apakah daripada politik perkauman yang dipraktikan oleh segelintir ahli politik oportunis.
"Anak-anak tidak dilahirkan dengan kebencian. Mereka mendengar. Mereka melihat. Mereka meniru. Sebab itu tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan kepada sekolah semata-mata," katanya.
Beliau berkata ibu bapa, keluarga, pendidik, masyarakat, pemimpin politik dan pencipta kandungan mempunyai tanggungjawab terhadap bahasa serta sikap yang dinormalisasikan di hadapan generasi muda.
Yuneswaran menegaskan sekolah sepatutnya menjadi tapak pertama pembinaan perpaduan negara, dengan murid daripada pelbagai kaum dan latar belakang belajar bersama serta memahami bahawa perbezaan bukan alasan untuk bermusuhan.
Beliau turut menggesa setiap sekolah mewujudkan budaya yang membolehkan murid bersuara tanpa takut, membuat aduan tanpa bimbang dipersalahkan dan yakin bahawa orang dewasa akan mendengar serta bertindak apabila mereka melaporkan kejadian buli.
Tegas Yuneswaran, walaupun keseluruhan perkara berkaitan pemergian Keziah Nisha masih menunggu hasil siasatan, terdapat satu perkara yang menurutnya tidak perlu menunggu keputusan siasatan untuk dipersetujui.
"Tiada seorang pun anak Malaysia patut takut untuk ke sekolah kerana siapa dirinya," katanya.
Ahli Parlimen Segamat itu turut menyampaikan rasa simpati dan dukacita kepada keluarga mendiang Keziah Nisha serta menyeru semua kanak-kanak yang berdepan buli, penghinaan, ugutan atau berasa tidak selamat supaya bersuara kepada individu yang dipercayai.
"Anak-anak mesti dilindungi. Buli mesti dihentikan. Perkauman tidak mempunyai tempat dalam kehidupan anak-anak Malaysia," katanya.




Comments