
Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan Perpaduan diserang hebat apabila hampir semua media massa arus perdana menularkan kenyataan kononnya harga barang akan naik 20% pada bulan Ogos ini.
Namun 'kenyataan nakal' menjelang Pilihan Raya Negeri pada Julai lalu itu tidak menjadi apabila sehingga September 2023 harga barang masih kekal seperti sedia kala.
Bagi Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat (MPP), Siti Aishah Shaik Ismail, pihak tertentu tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kebimbangan rakyat tanpa fakta yang betul
Hal itu, katanya tidak akan menjadi kenyataan kerana Kerajaan Perpaduan sentiasa memastikan keperluan barangan asas untuk rakyat mencukupi.
"Pertamanya Ogos (telah berlalu dan) membuktikan bahawa segala tuduhan dan persepsi dangkal yang cuba dimainkan oleh sesetengah pihak adalah tidak benar dan tepat.
"Kedua, setiap usaha kerajaan yang bermula sejak 8 bulan yang lalu menyaksikan kepedulian PMX (Anwar Ibrahim) dan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan bukan sahaja bekalan makanan tetapi keseimbangan harga barangan keperluan rakyat itu dijamin (mencukupi) sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau yang juga Pengarah Aduan dan Kemasyarakatan KEADILAN Malaysia berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan oleh Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) yang menjangkakan kenaikan harga barang secara mendadak pada Ogos lalu.
Mengulas lanjut, katanya, kerajaan pada ketika ini sedang berusaha bersungguh sungguh memastikan semua agensi pelaksanaan melakukan tugas selari dengan hasrat kerajaan.
"Ini juga membuktikan dasar dan kepedulian itu berlaku, dan kerja pemantauan serta perlaksanaan di bawah berjalan selari dengan polisi yang dibuat oleh kerajaan," katanya lagi.
Pada 11 Julai lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memberikan jaminan kenaikan harga barangan bersubsidi tidak akan berlaku sehingga hujung tahun ini.
Manakala, bagi barangan yang tidak bersubsidi pula akan dipantau dan dikawal setiap hari.