Buku Yusuf Islam buka hati, penuh ibrah, keinsafan – Dr Zulkifli
- Suara Keadilan

- Oct 24
- 2 min read

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkongsi pengalamannya meneliti karya terbaharu oleh penyanyi dan pendakwah terkenal dunia, Syeikh Yusuf Islam (Cat Stevens), berjudul Cat on the Road to Find Out, yang disifatkannya sebagai karya yang sangat menyentuh hati dan sarat dengan pengajaran spiritual.
Menurut Dr Zulkifli, Syeikh Yusuf memaklumkan kepada beliau bahawa projek buku tersebut telah dimulakan sejak tahun 2014 dan hasilnya benar-benar memberi kesan mendalam kepada pembaca.
"Memang padu. Jarang buku yang boleh menitiskan air mata," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, antara bahagian yang paling menginsafkan ialah kisah bagaimana Syeikh Yusuf memeluk Islam selepas melalui pengalaman hampir lemas di lautandan perjalanan spiritual menelaah al-Quran.
"Ketika itu beliau berjanji kepada Tuhan, ‘O God, if You save me, I’ll work for You’ — (‘Ya Tuhan, jika Engkau menyelamatkanku, aku akan berkhidmat untuk-Mu’)," kata Dr Zulkifli.
Tambahnya, Syeikh Yusuf akhirnya mendapat hidayah setelah mengkaji dan meneliti al-Quran, yang dianggapnya sebagai sumber perubahan paling besar dalam kehidupannya.
Dr Zulkifli turut memetik kata-kata Yusuf Islam daripada buku tersebut:
“The Quran was the single most important discovery in redrafting my map of religion and the rapid expansion of my spiritual coordinates... This book just couldn’t be another humanly written work: it was truly a message from my Maker.”
(“Al-Quran merupakan penemuan paling penting dalam mengubah semula peta keagamaan saya dan memperluas dengan pesat jajaran kerohanian saya… Buku ini tidak mungkin sekadar karya tulisan manusia – ia benar-benar satu mesej daripada Pencipta saya.”)
Lebih menarik, kata Dr Zulkifli, Yusuf Islam turut menceritakan bahawa sebaik sahaja beliau mula mendalami al-Quran walau sebelum memeluk Islam, secara semula jadi beliau telah menjauhkan diri daripada kelab malam, rokok dan arak.
"Peringatan kepada kita semua untuk sentiasa berdampingan dengan al-Quran," ujarnya.
Sehubungan itu, Dr Zulkifli menyifatkan karya tersebut sebagai antara buku yang sangat berbaloi untuk dibaca tahun ini.
"Banyak sebenarnya yang boleh dikongsikan, tetapi lebih baik membaca dan menekuni sendiri karya Syeikh Yusuf Islam ini. Antara buku ‘strongly recommended’ – wajib baca tahun ini," katanya.









Comments