top of page

Buku terbaharu PM himpun idea besar politik, Islam, demokrasi - Dr Maszlee

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 29, 2025
  • 2 min read

Dr Maszlee mengangkat karya terbaharu Anwar yang disifatkannya mengandungi pelbagai idea besar
Dr Maszlee mengangkat karya terbaharu Anwar yang disifatkannya mengandungi pelbagai idea besar

Oleh: Akmal Manaf


Buku 'Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times' karya Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil sebagai naskhah penting yang mengangkat wacana keadilan, reformasi dan kemanusiaan sejagat, sekali gus menawarkan kerangka pemikiran baharu dalam memahami cabaran dunia pasca-normal.


Pengerusi International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia, Dr Maszlee Malik menyeru orang ramai agar memiliki dan membaca buku tersebut, yang disifatkannya sebagai karya penting dalam memahami cabaran pemikiran dan peradaban semasa.


"Adunan kalam wahyu, khazanah ilmu Islam, petikan hikmah para ulama, lontaran falsafah tokoh tersohor timur dan barat, klasik dan moden, serta sulaman popular culture dan sastera seni menjadikan pembacaan buku ini sebagai sebuah ekspedisi ke sebuah mesta yang baharu jauh dari kejumudan, parokial dan fanatisme.


"Buku ini adalah berkisar mengenai konsep keadilan, perubahan masyarakat, dan isu-isu global, berlatarkan bingkai jamak tamadun, jamak budaya dan jamak epistemologi sebagai solusi kepada kegawatan dunia pasca-normal.


"Meskipun buku ini bukanlah sebuah autobiografi, namun karya ini telah menghimpunkan idea-ideanya yang berkembang, menyentuh tema-tema seperti pascakolonial, Islamofobia, dan demokrasi, yang diilhamkan daripada pengalaman PMX yang berliku termasuk ketika beliau di dalam penjara," katanya dalam satu kenyataan.


Terdahulu, beliau telah diwawancara oleh badan pemikir Indonesia iaitu Research on Economics, Technology, and Strategic Studies (RETAS), Dr Sigit Prakono mengenai buku terkini Anwar untuk podcast mereka yang ditonton oleh jutaan warga Indonesia.


Katanya dalam podcast itu, beliau menyimpulkan buku tersebut merupakan pengembaraan ke mesta (galaksi) pemikiran seorang pemimpin politik-cendekia bernama Anwar Ibrahim hasil perjalanan intelektualisme, aktivisme, kiprah kemanusiaan, pejuang keadilan dan pemimpin politik yang panjang.


"Saya bawakan juga bagaimana dunia pasca genosid Gaza kini memerlukan latar peradaban yang baharu bagi menggantikan pola peradaban hegemoni kesejagatan Euro-sentrisme.


"Buku ini merupakan salah satu bata binaan wajib yang perlu ada dalam membina peradaban masa depan yang memerlukan kepada pengharmonian jamak ontologi dan jamak nilai sejagat dari sumber epistemologi pelbagai.


"Bagi sesiapa yang belum memiliki naskah buku ini, anda wajib memiliki dan membacanya. Saya juga menganjurkan agar buku ini diterjemahkan ke bahasa Indonesia, serta diwacanakan secara kritis oleh para cendekiawan di Republik tersebut," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page