Oleh: Abdullah Zaid
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menggesa semua pihak menghormati keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung Pembatalan Perintah Larangan terhadap komik kontroversi 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama'.
Ketua Biro Guaman dan Undang-Undang AMK, Asheeq Ali Sethi Ali berkata keputusan pembatalan larangan penerbitan bekas Ahli DAP Hew Kuan Yau (Superman Hew) dibuat hanya selepas perintah Mahkamah Rayuan membatalkan larangan berkenaan pada 6 Julai 2022.
"Keputusan pembatalan ini dibuat setelah Mahkamah Persekutuan pada 8 Disember 2022 mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan untuk membatalkan perintah larangan ke atas buku tersebut sekaligus menolak rayuan yang telah difailkan oleh KDN dan Kerajaan Malaysia.
"Pada 7 Disember 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga telah memerintahkan KDN dan Kerajaan Malaysia untuk membayar ganti rugi sebanyak RM 51,465 kepada Superman Hew berikutan perintah larangan tersebut yang diwartakan sejak tahun 2019," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, semua pihak perlu memahami bahawa badan kehakiman negara mempunyai kebebasan penuh untuk memutuskan sebarang persoalan undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang sedia ada.
"Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa komited dalam memelihara kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman dalam negara ini," ujarnya.
Kelmarin, KDN dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024 membatalkan Perintah Larangan terhadap komik kontroversi itu yang sebelum ini diwartakan pada 2019.
Keputusan itu dibuat selepas Kerajaan Persekutuan gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula larangan ke atas penerbitan komik yang dihasilkan oleh bekas anggota DAP itu pada 8 Disember 2022.
Peguam Vince Tan Hoo Seh, yang mewakili Kuan Yau ketika itu memaklumkan, hakim tidak menemui sebarang isu baharu atau persoalan yang dikemukakan kerajaan adalah berhubung kepentingan awam untuk mewajarkan usaha mengembalikan larangan itu.
Susulan itu, pelbagai pihak termasuk pemimpin pembangkang mula mempersoalkan tindakan KDN membatalkan perintah larangan tersebut.
Warta itu mula dibuat pada 23 Oktober 2019, mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini dilarang secara mutlak di Malaysia.
Menurut KDN sebelum ini, penerbitan kandungan tersebut cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme selain cuba mengelirukan masyarakat dengan membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.
Comentarios