Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Bukit Aman menyokong penuh langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerbitkan garis panduan keselamatan maklumat dan rangkaian untuk industri komunikasi dan multimedia di negara ini.
Pengarahnya Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, langkah itu dapat meningkatkan keselamatan maklumat dan rangkaian serta daya tahan industri komunikasi dan multimedia.
"JSJK memahami bahawa dalam era digital yang semakin berkembang, ancaman siber menjadi salah satu cabaran terbesar yang perlu dihadapi oleh negara.
"Sistem komunikasi dan rangkaian yang canggih memerlukan perlindungan lebih ketat bagi memastikan keselamatan maklumat, bukan sahaja untuk kepentingan individu tetapi juga untuk menjaga kestabilan negara secara keseluruhan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramli berkata pihaknya mengakui bahawa kerjasama pihak berkuasa dengan agensi seperti SKMM merupakan kunci dalam mengurangkan risiko ancaman siber dan memelihara keselamatan maklumat berkaitan sektor kerajaan dan swasta serta komuniti.
"Langkah-Langkah yang diterapkan melalui garis panduan ini diyakini akan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan melindungi data dan privasi seterusnya mengurangkan kebimbangan terhadap pelbagai bentuk jenayah siber yang semakin meningkat.
"Kami juga akan terus melaksanakan inisiatif dan Latihan yang berterusan untuk memastikan pasukan PDRM sentiasa bersedia dalam menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks," ujarnya.
Ahad lalu SKMM memperkenalkan Garis Panduan Keselamatan Maklumat dan Rangkaian untuk Industri Komunikasi dan Multimedia (INSG) bagi meningkatkan keselamatan maklumat dan rangkaian serta daya tahan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.
SKMM berkata, INSG berfungsi sebagai suatu kerangka amalan terbaik dan tidak mandatori buat ketika ini.
INSG bukan bertujuan menambah peraturan baharu, sebaliknya untuk meningkatkan keupayaan dan ketersediaan penyedia perkhidmatan untuk mengurus risiko siber, mengurangkan kebocoran data, meminimumkan gangguan melalui pengukuhan prasarana serta melindungi pengguna daripada ancaman dalam talian.
Pada fasa pembangunan INSG, SKMM secara aktif melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk firma keselamatan siber, perunding keselamatan, pemegang lesen penyedia termasuk pusat data dan penyedia perkhidmatan awan, kementerian, agensi kerajaan, badan kawal selia, NGO, ahli akademik dan forum bawah SKMM.
Comments