top of page

Hari Pekerja: Bukan terhad isu naik gaji, inflasi menghakis pendapatan pekerja - Fahmi



Gaji minima yang dinaikkan ke RM1,500 lewat pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini tidak cukup untuk melegakan hati para pekerja bawahan B40.


Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, kerajaan BN - PN perlu berbuat lebih banyak daripada itu, antaranya memastikan setiap ringgit yang diperolehi pekerja boleh dibelanjakan secara maksimum.


Katanya, di negara maju pekerja boleh menggunakan lebih banyak wang gaji mereka untuk membeli barang keperluan berbanding di Malaysia yang dilanda inflasi agak tinggi.


"Bagi saya tidak memadai PM tampil pada Hari Pekerja untuk menyatakan kerajaan bersama pekerja. Kerajaan memperjuangkan nasib golongan buruh tanpa menyatakan dengan jelas apakah langkah untuk merapatkan kayu ukur Gini coefficient misalnya.


"Ada satu lagi terma iaitu Employee Compensation (EC), ini penting dalam matriks ekonomi, di mana untuk satu ringgit yang dilabur berapa peratus kembali kepada pelabur, berapa peratus kembali kepada pekerja.


"Setakat 2019 angkanya tidak tinggi, sekitar 35%. Maksudnya untuk setiap RM1 yang dilabur, pekerja cuma dapat 35 sen. Ini sangat berbeza dengan keadaan di Korea Selatan contohnya, di mana di situ EC kepada pekerja untuk setiap satu dolar, 65 sen pergi kepada pekerja.


"Bagi Malaysia, seingat saya dalam Rancangan Malaysia Ke 12 dan rancangan Wawasan Kemakmuran Bersama, niatnya adalah untuk mencapai nilai pampasan kepada pekerja sebanyak 40 sen untuk setiap RM1 yang dilaburkan," katanya.


Menurut calon Naib Presiden KEADILAN itu lagi, kenaikan paras gaji minima sebenarnya tidak begitu bermakna sekiranya harga barang keperluan tidak berjaya dikawal oleh kerajaan.


Begitu juga, katanya, soal pendapatan majikan. Adakah setimpal pekerja dibayar gaji rendah apabila majikan mendapat keuntungan berganda daripada produksi industri.


"Seperti disebut Datuk Seri Anwar, contoh kalau majikannya pembalak maka pendapatan syarikat pembalak ini tinggi. Tetapi nak bantu rakyat yang terkesan akibat banjir pun gagal. Bagi syarikat pembikin sarung tangan getah pendapatan berbilion tetapi pekerja terus ditekan. Ada kes di mana sehingga produk eksport Malaysia terpaksa ditahan (oleh kerajaan Amerika Syarikat) akibat pelanggaran hak pekerja," katanya.


Bagaimanapun kata Fahmi, kerajaan perlu melakukan kajian menyeluruh untuk memastikan golongan pekerja B40 dapat hidup dengan lebih selesa pada masa hadapan.


Katanya, perlu dilihat secara total termasuk kos harga barang dan jumlah pendapatan sebenar.


"Dalam hal ini kerajaan perlu menyatakan apakah langkah yang akan diambil untuk bukan hanya tangani kos sara hidup tetapi secara menyeluruh, berkenaan dengan nilai EC bagaimana nak capai 40%?


"Seperkara lagi, berhubung harga barang yang saya risaukan pada waktu ini seakan akan kerajaan bersikap reaksioner. Bila masalah timbul harga ayam naik barulah kerajaan tersentak. Bila telur habis barulah mahu ambil tindakan, tetapi benda itu kalau kita tengok sepanjang Pakatan Harapan jadi kerajaan, waktu Saifuddin Nasution jadi Menteri KPDNHEP kita tak dengar pun masalah ini," katanya .


Tambah beliau, pada Hari Pekerja jangan hanya PM yang bercakap. Tegas Fahmi, ada beberapa kementerian lain yang juga perlu bercakap dan mengumumkan solusi kepada golongan pekerja, antaranya Menteri Sumber Manusia, Menteri KPDNHEP, Menteri Undang undang dan Menteri Ekonomi.


"Ini semua menteri yang secara keseluruhan memberikan gambaran apakah hala tuju negara terkait nasib pekerja pada masa depan. Waktu ini saya tidak nampak (tindakan mereka)," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page