top of page

Bukan sekadar janji, Manifesto HARAPAN kesinabungan kejayaan lalu

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 24 minutes ago
  • 2 min read

Manifesto yang dibentangkan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sekadar janji sebaliknya kesinambungan kepada pencapaian pentadbirannya sepanjang hampir lima tahun.


Bilik Gerakan Utama PH dalam kenyataan berkata, perancangan yang terkandung dalam manifesto tersebut menjadi pelan hala tuju untuk membawa Negeri Sembilan menuju sebuah negeri maju menjelang tahun 2045.


PH Negeri Sembilan tampil menawarkan agenda pembangunan berteraskan kesejahteraan rakyat menerusi manifesto "Kekal Harapan-Negeri Sembilan Maju 2045", dengan sasaran mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, membina 20,000 rumah mampu milik serta memperkasa Skim Sejahtera Rakyat (SSR).


"Pakatan Harapan mahu memastikan lebih ramai anak Negeri Sembilan mendapat pekerjaan berkualiti tanpa perlu berhijrah ke negeri lain. Pelaburan yang berjaya dibawa masuk mesti diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik untuk rakyat," kata kenyataan itu.


Selain itu, PH turut beriltizam menyediakan 20,000 rumah mampu milik bagi membantu lebih ramai keluarga muda memiliki kediaman sendiri, di samping meneruskan program Rumah Harapan dan mempercepatkan penyelesaian isu tanah serta hak milik.


Manifesto itu turut memberi penekanan kepada pemerkasaan Skim Sejahtera Rakyat (SSR) yang akan menyantuni rakyat dari peringkat kelahiran, pendidikan, alam pekerjaan, perkahwinan sehingga usia emas menerusi pelbagai bentuk bantuan yang lebih tersusun dan menyeluruh.


PH menegaskan matlamat utama manifesto berkenaan ialah memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan.


"Inilah mesej utama manifesto Pakatan Harapan. Kemajuan Negeri Sembilan mesti dirasai oleh rakyat biasa. Anak tempatan mendapat pekerjaan bergaji tinggi, keluarga muda mampu memiliki rumah, dan setiap rakyat menerima manfaat pembangunan tanpa mengira kaum atau latar belakang," kata kenyataan itu.


Menurut kenyataan itu, rekod pentadbiran PH sepanjang lima tahun lalu membuktikan kerajaan yang stabil berjaya menarik pelaburan, memperkukuhkan ekonomi negeri dan memperluaskan pelbagai inisiatif kebajikan kepada rakyat.


Sehubungan itu, PH menyeru pengundi agar terus memberikan mandat pada PRN Negeri Sembilan bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan demi masa depan negeri yang lebih maju, makmur dan inklusif.


"Sebab itu kami menyeru rakyat Negeri Sembilan untuk terus memberikan mandat kepada Pakatan Harapan agar agenda pembangunan ini dapat diteruskan demi masa depan negeri yang lebih maju, makmur dan inklusif," jelasnya.


"Dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat. Kekal Harapan. Kekal Stabil. Negeri Sembilan Maju 2045."

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page