Ketibaan Aidiladha mengingatkan kepada pengorbanan yang dilalui rakyat Malaysia sepanjang tahun ini.
Penularan wabak COVID-19 menyebabkan nyawa rakyat terancam, serta berdepan risiko kehilangan pendapatan dan pekerjaan.
Malah, mandat rakyat terkorban akibat peristiwa Langkah Sheraton yang menyebabkan krisis politik berpanjangan sehingga ke hari ini.
Ketua AMK KEADILAN, Akmal Nasir berkata, tahun ini merupakan tahun yang amat mencabar dan ternyata cara kehidupan sedikit sebanyak telah berubah.
"Rata-rata amat terkesan dengan kelembapan ekonomi dalam keadaan kemelut politik terus berpanjangan.
"Ia bukannya mudah untuk berkorban melawan turutan hawa dan nafsu seperti pangkat, jawatan dan kekayaan demi menjaga prinsip dan hubungan kita dengan Allah SWT," katanya.
Namun Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berharap rakyat tidak berputus asa dan terus berjuang demi mencapai keamanan negara.
"Apa-apa pun kita kena terus berikhtiar demi kemakmuran dan kelangsungan masyarakat kita.
"Semoga segala pengorbanan kita juga dikira pahalanya dan diredhai olehNya.
"Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam. Jangan lupa ikuti SOP yang ditetapkan dan jangan bawa pulang Covid19 ke kampung!" katanya.
Comentários