top of page

Bukan isu khilaf tahlil, amalan agama jangan dipersenda - Sheikh Umar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 1 min read

Perbezaan pandangan fiqh tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempergunakan agama sebagai bahan sindiran atau modal politik.


Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali (gambar) menegaskan, kritikan yang dibangkitkannya semalam berkaitan video Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali bukan berkaitan hukum atau perbezaan pandangan terhadap amalan tahlil, sebaliknya menyentuh tindakan menggunakan isu agama bagi tujuan politik.


"Saya hormati jika Saudara (Zuhir) berpegang kepada pandangan fiqh yang berbeza mengenai amalan tahlil. Saya tak mahu masuk campur hal itu.


"Kritikan saya bukan mengenai hukum atau rukun Islam. Saya 'ok' sahaja kalau saudara tak setuju tahlil arwah, menentang program 'Ya Hanana', tak baca qunut Subuh dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, apa yang ditegurnya ialah tindakan mempersendakan amalan agama masyarakat Melayu berkaitan tahlil sehingga mencemarkan imej Islam.


"Yang saya tegur ialah tindakan mempergunakan agama sebagai alat sindiran dan modal politik. Pada saya, tindakan sedemikian amat hodoh dan mencemar nama baik Islam," katanya yang juga Senator Dewan Negara.


Sheikh Umar berkata, dalam tradisi keilmuan Islam, perbezaan pandangan fiqh telah lama berlaku dan sentiasa diraikan dengan adab serta ilmu.


"Agama dan amalan-amalan keagamaan perlu dihormati, bukan dijadikan alat untuk menghina, menyindir atau mengapi-apikan sentimen negatif," ujarnya.


Beliau turut mengingatkan bahawa pemimpin politik perlu menunjukkan akhlak yang baik dalam membawa isu agama.


Sheikh Umar turut mendakwa video yang menjadi pertikaian itu dimuat naik sendiri oleh individu berkenaan dan mengaitkannya dengan pendirian terhadap amalan tahlil.


"Mungkin kerana pendirian saudara bahawa tahlil arwah bukan syariat Islam, maka saudara sanggup memperlakukannya sebegitu.


"Apa pun, saya doakan kebaikan buat saudara," katanya yang juga Naib Pengerusi DAP Johor.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page