top of page

'Bukan datang bawa janji kosong, tumpu selesai masalah Sabah'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 days ago
  • 2 min read

Nurul Izzah menggariskan misi PH dalam PRN Sabah ketika berucap di Inanam. Foto kredit: JPRN Selangor
Nurul Izzah menggariskan misi PH dalam PRN Sabah ketika berucap di Inanam. Foto kredit: JPRN Selangor

Oleh: Helmi Mohd Foad


Penyertaan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah ke-17 bukan untuk menabur janji-janji kosong sebaliknya menumpukan usaha menyelesaikan pelbagai isu berkaitan negeri, demikian tekad Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.


Beliau berkata sekiranya terdapat pemimpin parti tertentu yang cuba membakar emosi rakyat Sabah, mereka sewajarnya bertanya kembali apa yang dilakukan ketika berkuasa sebelum ini.


"Jangan cakap banyak, nak ceramah menjerit, nak bakar segalanya, jangan buang masa, ini masa untuk kita bersama-sama menyelesaikan masalah, untuk masa depan Sabah dan tidak benarkan siapa menjejaskan apa saja.


"Kita datang bawa harapan, saya percaya masa depan kita yang baik dan sentiasa fikir serta bagaimana dapat selesai masalah dan kerjasama bersama," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penuh Harapan di Inanam, Kota Kinabalu malam tadi.


Hadir sama Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, bakal calon PH kerusi DUN Inanam, Datuk Peto Galim dan para pemimpin masyarakat Cina serta pemimpin komponen PH.


Nurul Izzah yang juga Pengarah Pilihanraya KEADILAN berkata, tugas utama pada masa ini adalah untuk memastikan bagaimana untuk memastikan pelaksanaan pembangunan di Sabah hasil daripada peruntukan yang diturunkan kerajaan Persekutuan.


"..dengan belanjawan negara kalau dahulu wang interim tidak lebih RM100 juta.. (tetapi) kerajaan Madani 2024 naik kepada RM300 juta untuk untuk kegunaan anda, ada pilih nak baiki jalan dan sekolah


"Perbincangan diteruskan dan laksana.. cukup atau tidak…tidak cukup, tapi kita dah buat pada 2025, RM600 juta sudah diumumkan..soal pembangunan ini PN pernah rasa, kerajaan Warisan (sekarang pembangkang) pernah rasa.


"Kena teliti apa yang dibuat oleh para pemimpin, jangan janji-janji, anda fokus apa yang dibuat masa berkuasa," kata Nurul Izzah.


Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan Negeri yang terbentuk selepas PRN-17 ini perlu menumpukan usaha bagaimana melaksanakan peranan lebih berkesan setelah banyak isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan ketika pentadbiran Kerajaan Madani.


Antaranya jelas beliau berkaitan tugas menyediakan bekalan elektrik yang kini dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan Sabah.


"Kami nak bantu untuk selesaikan, sembilan perkara perjanjian MA63 sudah laksana, kuasa untuk bekalan elektrik bawah Kerajaan Negeri. Kuasa ini penting, anda kena pasti ada bekalan cukup.


"Selepas pilihanraya terus semua ADUN kena cepat laksana guna duit yang diturunkan kerajaan pusat dan perbincangan kena diteruskan kerana banyak isu yang memerlukan sokongan


"Cari jalan semua anak Sabah berhak mendapat masa depan lebih baik, (seperti) pendidikan tidak boleh letak ketepi," ujarnya.


Selain itu, Nurul Izzah berkata, kemudahan infrastruktur di Sabah juga perlu ditambah baik memandangkan negeri ini menjadi tumpuan pelancong.


"Sabah ini antara negeri paling cantik di Malaysia, orangnya peramah. Pelancong datang berbondong-bondong, kena pasti infrastruktur dijaga.


"Saya pergi Tawau, tengah makan malam tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Bagus biar orang KL tengok. Kita kena bantu Sabah, bukan kerana pilihanraya tetapi ini keutamaan kita," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page