top of page

Buka sidang Parlimen: Kuasa Agong atasi nasihat PM dalam pemerintahan Darurat?


Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mungkin tidak mempunyai alasan kukuh untuk melengah-lengahkan membuka semula sidang Parlimen selepas Yang di-Pertuan Agong bertitah pada 16 Jun lalu agar memanggil sidang pada kadar segera.


Bagi ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil, perdebatan sama ada Agong boleh memanggil sidang Parlimen secara bersendirian atau perlu melalui nasihat Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin boleh dilihat dalam beberapa keputusan mahkamah sebelum ini.


Katanya, persoalan biasa yang ditanyakan oleh rakyat, adakah dalam tempoh darurat Agong terikat kepada nasihat PM memandangkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong perlu bertindak atas nasihat PM.


"Oleh itu adakah dekri (titah buka Parlimen) Agong terikat dengan nasihat PM?


"Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu untuk merujuk peruntukan seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 secara ‘in verbatim’ yang menyatakan “Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”.


"Peruntukan ini sangat jelas dan tiada kekaburan (unambiguous) bahawa kuasa mutlak terletak kepada Agong untuk memanggil sidang Parlimen. Maka, dekri Agong adalah sah dan mengikat.


"Namun, keadaan ini mewujudkan percanggahan undang-undang kerana Perlembagaan menyatakan Agong bertindak atas nasihat PM, tetapi Ordinan Darurat memberikan kuasa kepada Agong untuk memanggil sidang Parlimen.


"Apabila berlaku percanggahan di antara peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan Darurat, undang-undang manakah yang mengatasi dan terpakai?


"Jawapannya Ordinan Darurat mengatasi dan terpakai. Yang di-Pertuan Agong berkuasa mutlak memanggil sidang Parlimen tanpa terikat dengan nasihat PM," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.


Menurut Faiz yang juga seorang pengamal undang-undang, Ordinan Darurat mengatasi Perlembagaan boleh dirujuk berdasarkan peruntukan undang-undang Perkara 150 (6) dan (6A) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa mana-mana peruntukan dalam Akta Parlimen yang diluluskan sebagai undang-undang darurat tidak dianggap batal walaupun bertentangan dengan Perlembagaan kecuali berkaitan perkara agama, adat istiadat Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak, kewarganegaraan atau bahasa.


Beliau juga membawakan contoh kes di Mahkamah Persekutuan dalam kes Eng Keok Cheng lawan Public Prosecutor memutuskan bahawa Akta Darurat (1964) adalah sah dan mengatasi Perlembagaan.


Di dalam kes berkenaan, kata Faiz, tertuduh telah didapati bersalah memiliki senjata api dan dihukum gantung mengikut Akta Darurat (1964). Hujah bahawa Akta Darurat tidak sah kerana bertentangan dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan tidak diterima panel hakim Mahkamah Persekutuan, di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa semasa darurat apa sahaja undang-undang boleh dibuat walaupun bertentangan dengan Perlembagaan.


"Berdasarkan hujah itu, saya berpendapat bahawa dekri Yang di-Pertuan Agong Parlimen perlu dipanggil bersidang hendaklah dilaksanakan segera oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai badan eksekutif di bawah Ordinan Darurat (2021).


"Dekri Yang di-Pertuan Agong, sidang Parlimen dipanggil ‘segera’ adalah jelas dan tidak mempunyai maksud berlainan.


"Oleh itu, menurut Peraturan 11 (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, PM sebagai Ketua Majlis Mesyuarat hendaklah memberikan notis penetapan tarikh sidang Parlimen, tanpa kelengahan lagi.


"Jika tidak, kerajaan PN bukan sahaja dilihat kerajaan gagal, tetapi derhaka kepada dekri Yang di-Pertuan Agong," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Amanah Negara.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page