top of page

Buka sekolah: Bagi kelonggaran pakaian seragam, beri vaksin untuk guru

Updated: Feb 22, 2021


Tujuh Ahli Parlimen pembangkang mengemukakan lima cadangan kepada Kementerian Pendidikan untuk menambah baik sesi persekolahan tahun ini selepas murid dan pelajar diarahkan untuk kembali ke sekolah secara berperingkat bermula 1 Mac.


Antara cadangan yang penting adalah memberi kelonggaran daripada memakai seragam sekolah dan mengutamakan pemberian vaksin kepada guru dan kakitangan sekolah, yang juga dianggap sebagai petugas barisan hadapan.


“Ramai ibu bapa telah terbeban dengan pandemik dan telah berbelanja besar untuk pendidikan anak-anak.


“Kelonggaran untuk berpakaian bebas harus diberikan sekurang-kurangnya untuk tahun ini memandangkan ada kebarangkalian sekolah akan ditutup kembali jika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.


“Para guru dan kakitangan sekolah juga wajib diberikan keutamaan di dalam menerima vaksin sepertimana petugas barisan hadapan yang lain,” katanya.


Kenyataan bersama itu dibuat oleh tujuh Ahli Parlimen pembangkang iaitu Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Baharom, Ahli Parlimen Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.


Pada masa sama, tujuh Ahli Parlimen itu menggesa Kementerian Pendidikan supaya tidak membuat keputusan yang disifatkan sebagai "tidak terancang dan reaktif", tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat.


Satu lagi cadangan adalah menaiktaraf sistem pembelajaran berasaskan teknologi, sama ada di dalam atau luar kelas, termasuk dengan menambah baik akses internet.


“Ketidakcekapan dalam membuat keputusan-keputusan besar yang melibatkan seluruh rakyat seharusnya tidak berulang lagi.


“Kebanyakan ibu bapa sudah mengeluarkan belanja membelikan kelengkapan belajar secara dalam talian buat anak-anak mereka, dan perdana menteri juga telah melancarkan Didik TV selang dua hari sebelum Menteri Pendidikan mengumumkan pembukaan semula sekolah.


“Deretan pengumuman yang bercanggah dan mengelirukan ini amat memberi kesan kepada rakyat terutamanya mereka yang bergelut dengan keadaan ekonomi semasa,” katanya.


Pembukaan sekolah dibuat dua hari selepas pelancaran Didik TV, iaitu saluran pendidikan bagi membantu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).


Sesi persekolahan murid prasekolah, tahun satu dan tahun dua akan bermula pada 1 Mac.


Sesi persekolahan untuk tahun tiga, empat, lima dan enam pula akan bermula 8 Mac.


Pelajar sekolah menengah pula akan mula bersekolah pada 4 dan 5 April.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page