top of page

Buka Parlimen Pinda Undang-undang Undi 18


Oleh: Hassan Abdul karim


Saya menghargai jaminan kerajaan bahawa rakyat umur 18 tahun boleh mengundi pada PRU15.


Ini tugas semua pihak - bipartisan, sama ada kerajaan ataupun pembangkang kerana Akta (Pindaan) Perlembagaan tahun 2019 (Akta A1603) telah diluluskan oleh Parlimen Malaysia sebulat suara, di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara.


Akta Pindaan Perlembagaan itu telah ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong pada 4 September 2019 dan telah diwartakan pada 10 September 2019.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan yang bertanggungjawab dalam hal Undi 18 ini telah menyatakan jaminan kerajaan tersebut pada 29 April 2021.


Takiyuddin berkata keputusan kerajaan itu telah dibincang dan disahkan dalam Mesyuarat Kabinet pada 28 April 2021.


Susulan keputusan tersebut, kata Takiyuddin lagi bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi berkaitan peruntukan undang-undang tertentu dan juga perkara teknikal termasuk memperkemas kini sistem perisian yang diperlukan.


Pindaan undang-undang benarkan Undi 18


Saya akan menyentuh secara spesifik dalam tulisan ini berkaitan peruntukan undang-undang tertentu yang disebut oleh Menteri Undang-Undang, Takiyuddin Hassan.


Undang-undang tertentu yang perlu dipinda sebelum Undi 18 boleh dilaksanakan adalah seperti berikut:-


i) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Election Offences Act 1954);

ii) Elections (Conduct of Elections) Regulation 1981;

iii) Elections (Registration of Electors) Regulation 2002;

iv) Semua Perlembagaan Negeri-Negeri untuk merendahkan umur kelayakan menjadi calon Dewan Undangan Negeri.


Saya ingin bertanya Menteri Takiyuddin: Sekarang Parlimen digantung, jadi bilakah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 hendak dipinda?


Soalan saya yang kedua: Sekarang Dewan-Dewan Undangan Negeri juga digantung. Jadi, bagaimana Dewan-Dewan Undangan Negeri itu hendak merendahkan umur kelayakan calon-calon bagi Dewan Undangan Negeri?


Saya percaya persoalan undang-undang ini tidak boleh diserahkan kepada SPR untuk selesaikan. Ini tugas kerajaan. Apa penjelasan Menteri Undang-Undang dalam hal ini?


Ordinan Darurat pinda undang-undang pilihan raya?


Adakah kerajaan atau Kabinet akan menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya menggunakan kuasa Baginda membuat undang-undang di bawah Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan untuk menggubal suatu Ordinan Darurat untuk meminda semua Perlembagaan Negeri-Negeri, meminda Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, meminda Elections (Conduct of Elections) Regulations 1981, dan meminda Elections (Registration of Electors) Regulations 2002 supaya semua undang-undang itu selaras dengan Akta (Pindaan) Perlembagaan 2019 ?


Tetapi saya fikir dan cadangkan kepada Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan iaitu ada cara lain yang lebih baik dan demokratik untuk melakukan pindaan-pindaan terhadap undang-undang tertentu tersebut yang amat penting kerana ia ada kaitannya dengan Pindaan Perlembagaan berkenaan Undi 18 tahun itu.


Cadangan saya kepada kerajaan ialah: Kerajaan eloklah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan kuasa Baginda di bawah Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk memanggil sidang Parlimen bagi melakukan pindaan ke atas Akta Kesalahan Pilihan Raya Tahun 1954 itu.


Begitu juga kerajaan atau Kabinet boleh juga menasihati Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa Baginda di bawah Seksyen 15(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dengan melakukan perundingan terlebih dahulu bersama-sama raja-raja di negeri-negeri untuk memanggil semula sidang Dewan-Dewan Undangan Negeri bagi tujuan pindaan ke atas Perlembagaan-Perlembagaan Negeri.


Pada pandangan saya, kesimpulannya ialah: Jika kerajaan benar-benar komited untuk melaksanakan Undi18 tahun, maka jalan yang terbaik untuk mempercepatkan proses itu ialah dengan membuka semula Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri. Tiada jalan lain yang lebih demokratik dari itu.


__________________________________________________________________________________


Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page