Pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) diminta mendapatkan sebuah kamus dan mencari makna perkataan 'segera' di dalamnya.
Gesaan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dalam sidang media selepas Ketua-ketua Pemuda Pakatan Harapan membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, petang tadi berhubung seorang menteri PN yang mempersoal titah Yang di-Pertuan Agong mengenai perlunya Parlimen dibuka segera.
"Saya sangat tertarik isu Parlimen perlu bersidang segera. Saya rasa isu itu menteri dan Speaker kurang faham. Mereka kena buka kamus dan cari apa makna perkataan segera itu. Atau buat-buat tak faham.
"Mungkin mereka ingat segera itu bulan September. Segera itu maksudnya hari ini, esok atau bulan depan. Bukan hingga September.
"Kenyataan yang diberikan oleh Menteri Undang-undang sangat-sangat tidak memuaskan. Ini bukan standard menteri. Ini menunjukkan bahawa mereka ini melanggar titah Yang di-Pertuan Agong.
"Jadi saya rasa kalau mereka betukl-betul melanggar maka letak jawatan, berilah peluang kepada orang lain (untuk jadi menteri)," katanya.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Wilayah Persekutuan itu lagi, tiada asas menangguhkan sidang Parlimen sehingga September kerana Pengarah Kesihatan Malaysia pun tidak membantah Parlimen dibuka, memandangkan Ahli-ahli Parlimen dan sebahagian petugas Parlimen telah divaksin.
"Tan Sri Noor Hisham sudah ok dengan Parlimen bersidang , apa masalah dengan menteri? Selaku Speaker (Azhar Azizan Harun), orang penting dalam legislatif tetapi beliau juga kata September adalah (tarikh) yang rasional. Bagi saya itu tidak rasional langsung
"Saya rasa banyak perkara yang perlu dibetulkan. Parlimen adalah satu tempat yang sesuai untuk dibangkitkan masalah rakyat. Kalau Parlimen tak bersidang macam mana nak dibangkitkan? Hari-hari saya buat sidang media di jalan raya pun tidak berguna. Menteri-menteri ada, tetapi tidak tahu mereka buat apa," katanya.
Bagi Prabakaran, tidak ada alasan untuk enggan membuka Parlimen seawal bulan Julai, kecuali kerajaan PN tidak mempunyai cukup sokongan dan cuba memujuk Ahli-ahli Parlimen tertentu menyebelahi mereka.
''Jadi saya menyeru kerajaan Perikatan Nasional ikut perintah Agong dan jangan delay perkara ini.
"Kenapa perlu delay? Untuk cari katak lagilah atau apa," katanya lagi.
Petang tadi, Pemuda Pakatan Harapan membuat laporan polis terhadap Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan kerana didakwa derhaka ke pada Yang di-Pertuan Agong apabila menyatakan titah agar membuka segera sidang Parlimen tidak dinyatakan tarikh, dan bebas ditafsir untuk tempoh yang lebih panjang.
Comments