BUDI95 tawar manfaat ekonomi 3 dalam 1 - Jalex Lee
- Suara Keadilan
- 33 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Jalex Lee En Xiang (gambar) menyifatkan langkah memperkenalkan subsidi bersasar RON95 sebagai usaha mendekatkan tanggungjawab kerajaan dengan rakyat melalui pemberian amanah secara langsung kepada individu.
Beliau berkata, dengan melibatkan setiap rakyat, sistem tersebut memperkukuh peranan etika peribadi dan akauntabiliti dalam memastikan sumber negara dilindungi.
''Lebih ramai individu yang terlibat, bermakna ruang untuk penyalahgunaan secara sistematik dapat diminimumkan kerana ia menjadi terlalu rumit untuk dilaksanakan.
''Kerajaan telah berulang kali menunjukkan kesediaan untuk menyesuaikan dan menambah baik dasar selaras dengan keperluan rakyat. Maka BUDI95 adalah bukti jelas iaitu bermula daripada manfaat kepada kumpulan tertentu sehingga ke arah dasar 'tiada yang tercicir'.
''BUDI95 turut menawarkan manfaat ekonomi tiga dalam satu. Ia dapat mengurangkan ketirisan kerajaan dan menunjukkan pengurusan fiskal yang berhemah, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur asing,'' ujar beliau sambil memuji langkah yang diambil Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya lagi, subsidi bahan bakar bersasar itu turut berperanan sebagai rangsangan fiskal dengan meningkatkan simpanan individu secara besar-besaran, sekali gus berpotensi merancakkan ekonomi domestik.
Langkah berkenaan juga katanya, berupaya membantu mengawal inflasi dengan menurunkan harga petrol, iaitu komoditi yang digunakan oleh hampir setiap orang dewasa di negara ini.
''Saya yakin rakyat Malaysia akan bertindak secara bertanggungjawab dalam memanfaatkan BUDI95. Dari semasa ke semasa, kefahaman rakyat akan bertambah bahawa bantuan kerajaan adalah untuk memenuhi keperluan sebenar rakyat, dan sewajarnya digunakan dengan berhemah.
''Dengan menyalurkan subsidi secara bersasar khas untuk rakyat Malaysia, program ini juga mengembalikan subsidi kepada tujuan asalnya.
''Syarat penggunaan MyKad serta had 300 liter sebulan (yang disokong data sebagai mencukupi bagi 99% rakyat) merupakan mekanisme yang ringkas, telus dan adil.
''Langkah ini memastikan rakyat masih menikmati manfaat subsidi, pada masa yang sama mengekang gejala penyeludupan dan rasuah secara tuntas dari akar umbi,'' katanya lagi.