BUDI95: Semua perlu sokong elak ketirisan, pulih ekonomi negara
- Suara Keadilan
- 39 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Semua pihak disaran menyokong penyasaran subsidi petrol di bawah BUDI95 yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan pengagihan subsidi bahan api lebih cekap.
Penggerak Rakan Nasionalis Moderat, Faiz Naaman (gambar), berkata kaedah pengagihan yang dikritik oleh sesetengah pihak pada waktu ini tidak perlu diperbesarkan dan hal itu akan diperbaiki selepas pelaksanaan.
"Sekarang usaha sudah bermula untuk menyasarkan subsidi. Pada peringkat awal, ia disalurkan kepada semua warganegara tanpa mengira status sosial. Selepas kerajaan mendapat pengalaman dan memperkemas mekanisme, mungkin ia boleh diperluas mengikut kelompok B40 atau M40.
"Kalau langsung tidak dibuat, kita tidak tahu di mana kelemahannya. Penambahbaikan hanya boleh berlaku selepas sesuatu inisiatif dijalankan terlebih dahulu," katanya kepada Suara Keadilan.
Faiz menegaskan, dasar penyasaran subsidi bukanlah sesuatu yang terburu-buru kerana hal itu sudah lama menjadi agenda kerajaan sebelum ini dan PM Anwar berani untuk melaksanakannya dengan kaedah menurunkan harga RON95 buat warganegara.
Mengenai sistem pengagihan pula, kata beliau, skim penyasaran diesel bersubsidi tahun lalu turut mengalami sedikit kesulitan pada peringkat awal, begitu juga bantuan SARA, namun ianya tidak menjadi isu selepas beberapa bulan kemudian.
"Kerajaan sudah menjangka akan ada isu, tetapi dari situlah proses pembelajaran berlaku. Sama seperti ketika pelaksanaan SARA dahulu, sistem sempat ‘down’ kerana terlalu ramai mengakses serentak, namun kerajaan belajar untuk memperbaikinya. Begitu juga dengan Budi Madani RON95 ini," ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa pemisahan pertama antara warganegara dan bukan warganegara adalah langkah asas yang tepat, sebelum subsidi benar-benar disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah.
Dalam masa sama, Faiz mengingatkan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar juga perlu mengambil kira kelompok tertentu, khususnya penduduk luar bandar atau di tanah rancangan Felda yang memiliki kenderaan untuk kegunaan di ladang atau di kampung tetapi tidak mempunyai lesen memandu aktif.
"Golongan ini ada IC sebagai warganegara, jadi mereka tetap berhak kepada subsidi. Kerajaan dan JPJ perlu cari mekanisme khusus untuk mereka. Namun, sebagai rakyat, lesen memandu adalah keperluan yang tidak boleh diabaikan," katanya.
Beliau menyeru rakyat agar tidak cepat menghukum kerajaan kerana kelemahan awal, sebaliknya memberi peluang kepada kerajaan memperbaiki dasar ini untuk kepentingan jangka panjang.
"BUDI Madani RON95 adalah langkah pertama menuju sistem subsidi bersasar sepenuhnya. Jika kerajaan berjaya memperkukuh pelaksanaannya, rakyatlah yang akan mendapat manfaat terbesar," katanya lanjut.