BUDI95 petrol RM1.99: Bukti Kerajaan Madani utamakan kesejahteraan rakyat
- Suara Keadilan
- Sep 23
- 2 min read

Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Jalex Lee (gambar), menyifatkan pengumuman penurunan harga petrol RON95 bersubsidi daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter sebagai berita yang amat menggembirakan seluruh rakyat Malaysia.
Menurut beliau, langkah berani ini bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah menunjukkan reformasi tadbir urus yang lebih baik apabila subsidi diperluas kepada semua rakyat Malaysia yang memiliki kad pengenalan serta lesen memandu sah, dengan had penggunaan sehingga 300 liter sebulan.
"Daripada hanya tertumpu kepada kumpulan pendapatan tertentu pada awalnya, kini ia diperluas kepada semua rakyat Malaysia yang memiliki kad pengenalan serta lesen memandu yang sah, dengan had sehingga 300 liter.
"Dasar ini bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah turut memperkenalkan reformasi ke arah tadbir urus yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan.
Jalex Lee turut menekankan bahawa keputusan tersebut mencerminkan semangat Kerajaan Madani yang mendengar suara rakyat serta bersedia menambah baik dasar demi kesejahteraan bersama.
"Berkali-kali PMX dan kerajaan menunjukkan kesediaan untuk memperhalusi inisiatif demi memberi manfaat yang lebih menyeluruh kepada rakyat Malaysia. Diharapkan rekod sebegini mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan," ujarnya.
Beliau merakamkan penghargaan ke atas langkah yang disifatkan sebagai “dua dalam satu” kerana dapat membantu rakyat sambil memperkukuh ekonomi negara.
"Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan atas langkah berani dan penuh pertimbangan ini. Ia benar-benar membawa manfaat dua dalam satu, membantu rakyat sambil memperkukuh ekonomi negara.
"Satu penyelesaian terbaik untuk masa depan Malaysia. Syabas PMX," katanya lagi.
Pelaksanaan skim subsidi petrol BUDI95 akan bermula pada 27 September ini melibatkan anggota polis dan tentera; diikuti penerima bantuan STR pada 28 September; dan kesemua rakyat pada 30 September.
Pengguna kenderaan memerlukan MyKad atau lesen memandu sah untuk membeli petrol di stesen minyak.
Urusan pengesahan boleh dibuat di pam minyak, di kaunter stesen minyak atau untuk lebih mudah menggunakan aplikasi Touch n Go atau Setel (aplikasi beli minyak online Petronas).
Comments