top of page

BUDI95: Pemuda Pas macam tin kosong, kritik tanpa solusi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 33 minutes ago
  • 2 min read

ree

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyifatkan Pemuda Pas hanya pandai membantah dasar kerajaan membantu rakyat tanpa menawarkan sebarang solusi, ibarat “tin biskut raya selepas Syawal” yang kosong.


Beliau berkata, kritikan sayap muda Pas terhadap BUDI95 hanyalah pengulangan retorik lama yang penuh cemuhan tetapi gagal menawarkan jalan penyelesaian.


"Aneh bila generasi muda dari parti politik yang berangan nak jadi PM menuduh kerajaan gagal tetapi tidak pula mereka bentangkan pelan bagaimana subsidi boleh diagih dengan lebih baik?


"Adakah mereka kemukakan mekanisme untuk elak ketirisan? Tiada. Adakah mereka cadangkan strategi fiskal jangka panjang? Juga tiada," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mahfuz menegaskan BUDI95 bukanlah dasar sempurna namun ia adalah langkah transisi yang lebih baik berbanding mengekalkan subsidi pukal yang sebelum ini hanya melemahkan kedudukan kewangan negara.


Menurut beliau, Pas sendiri tidak pernah berani melaksanakan sebarang pembaharuan ketika berada dalam kerajaan.


"Janganlah Pemuda Pas hanya pandai buat bising tetapi bila ditanya solusi, mereka kosong. Cakap besar konon nak bela dan selamatkan rakyat tapi bila ditanya jawapan kosong macam tin biskut raya lepas Syawal," katanya lagi.


Sebelum ini, Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa BUDI95 hanyalah dasar populis sementara yang gagal menyelesaikan masalah fiskal negara.


Mereka mempersoalkan penjimatan yang diumumkan kerajaan berjumlah RM16 bilion, tetapi kemudiannya susut kepada sekitar RM2 - 4 bilion sahaja.


Sayap parti pembangkang itu juga membangkitkan isu ketirisan apabila golongan berpendapatan tinggi (T20) dan pemilik kenderaan mewah turut menikmati subsidi yang sama seperti rakyat biasa sementara pengguna pengangkutan awam tidak mendapat sebarang manfaat.


Mahfuz bagaimanapun menegaskan kerajaan kini sedang bergerak ke arah reformasi subsidi yang lebih adil dan mampan dan mengingatkan agar generasi muda tidak hanya sibuk bermain sentimen politik semata-mata.


"Jangan jadi ibarat pasukan bola pandai jerit dari tepi padang, tapi bila masuk padang permainan, cari bola pun tak jumpa," sindirnya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page