BUDI95: 'Pembangkang jangan kritik kosong, beri cadangan selesai masalah'
- Suara Keadilan

- Oct 2
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pembangkang dikritik kerana dikatakan lebih cenderung menolak langkah kerajaan berbanding mengemukakan cadangan yang membina khususnya berhubung pelaksanaan Skim Subsidi Petrol RON95 Madani Prihatin (BUDI95).
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai Chen Heng berpendapat, sekiranya pembangkang benar-benar mahu bersuara untuk rakyat, mereka perlu mengurangkan 'bising' dan lebih ikhlas dalam memberikan cadangan.
Beliau berkata, rakyat tidak memerlukan kritikan kosong, sebaliknya mahu melihat masalah diselesaikan.
"BUDI95 bukanlah titik akhir, ia adalah dasar bersifat sementara yang akan terus diperbaiki berdasarkan data dan maklum balas rakyat.

"Berhubung pelaksanaan skim petrol bersubsidi yang mencetuskan pelbagai kritikan daripada pihak pembangkang, saya perlu nyatakan secara terus terang.
"Kritikan-kritikan itu hanya 'cakap senang tanpa fikir realiti', langsung tidak mencerminkan kebijaksanaan politik," tempelak beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Bidas Andre Lai lagi, pembangkang juga sering melaungkan kononnya tiada ketepatan sasaran, namun tidak pernah menjelaskan bagaimana kaedah yang 'tepat' boleh dilaksanakan.
"Adakah mereka mahu seluruh rakyat Malaysia menyerahkan butiran pendapatan setiap hari untuk ditapis? Itu hanya menambah kerenah birokrasi.
"Saya ingin bertanya, adakah mereka benar-benar mengambil berat tentang keresahan rakyat yang paling mendesak? Siapa antara mereka yang bertanya sama ada stesen minyak akan sesak atau sistem boleh beroperasi dengan lancar?
"Hakikatnya, rakyat hanya mahu isi minyak dengan mudah, bukannya menonton ahli politik beraksi di media.
"Terus terang, pemimpin pembangkang ini bukan bersuara untuk rakyat, tetapi sedang menyiapkan jalan untuk diri sendiri. Mereka asyik menjerit soal 'subsidi bersasar', tetapi aspek asas kehidupan rakyat langsung tidak disentuh, itu bukan pengawasan, itu jelas permainan politik," katanya.
Andre Lai yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju menyifatkan, petrol RON95 merupakan bahan api yang digunakan kebanyakan rakyat di negara ini.
Ujarnya, pemilik kereta mewah lazimnya menggunakan petrol gred lebih tinggi, sekali gus menjadikan subsidi itu lebih menguntungkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
"Dengan had 300 liter seorang sebulan, jumlah itu sudah mencukupi untuk kebanyakan rakyat.
"Kerajaan Perpaduan kini sedang menempuh laluan yang sukar tetapi perlu. Saya bersedia berganding bahu dengan sesiapa sahaja yang benar-benar ikhlas untuk rakyat.
"Pada masa sama, saya ingin mengingatkan pembangkang jangan disebabkan kepentingan politik sempit, rakyat dijadikan bahan ujikaji atau mangsa korban anda," katanya lagi.









Comments