BUDI95: Laksana subsidi bersasar, rakyat jimat hingga RM1,500 setahun
- Suara Keadilan

- Sep 27
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Pelaksanaan subsidi bersasar Budi Madani RON95 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 dengan penjimatan sehingga RM1,500 setahun bagi setiap individu.
Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai (gambar) berkata, penurunan harga petrol sebanyak enam sen bermula 30 September ini akan memberi kesan langsung kepada pengguna, sama ada penunggang motosikal mahupun pemilik kereta.
"Secara purata, pengguna menggunakan 200 liter sebulan atau 2,400 liter setahun. Dengan penurunan enam sen seliter, mereka boleh berjimat sekitar RM150 setahun.
"Jika diambil kira perbezaan harga antara RM2.65 dan RM2.05, jumlah penjimatan boleh mencecah RM1,320 setahun. Secara keseluruhan, rakyat akan menikmati lebih kurang RM1,500 setahun atau RM150 sebulan," kata beliau kepada Suara Keadilan.
Mengulas pandangan warganet bahawa keluarga besar yang mempunyai ramai ahli memiliki lesen memandu aktif boleh menerima manfaat lebih besar, Dr Barjoyai berkata ia bergantung kepada penggunaan kenderaan setiap isi rumah namun tidak menolak kepentingan institusi keluarga untuk berkongsi manfaat yang ditawarkan.
"Jika sebuah keluarga memiliki empat orang berlesen, subsidi yang diperoleh boleh mencecah 1,200 liter sebulan, sudah tentu ia memberi kelebihan.
"Contohnya, kalau ada empat orang dalam keluarga dan mereka perlu balik kampung ke Kelantan, perjalanan pergi balik sejauh 1,200 km. Mereka boleh menggunakan kuota masing-masing untuk memenuhi keperluan perjalanan itu," katanya lagi.
Beliau turut memuji langkah kerajaan menggunakan MyKad, lesen memandu dan aplikasi lain sebagai mekanisme pemberian subsidi, yang disifatkannya sebagai sistem mudah dan praktikal.
"Selama 15 tahun kita berjuang untuk cuba melaksanakan skim subsidi bersasar, tetapi banyak sistem gagal. Akhirnya kerajaan memilih mekanisme paling praktikal dan mudah. Ini sesuatu yang bagus dan usaha berani kerajaan.
"Namun, sistem ini perlu benar-benar kalis penyalahgunaan dengan kawalan ketat. Kita tidak mahu subsidi dinikmati pihak yang tidak layak," tambahnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan risiko sekiranya berlaku krisis global yang melonjakkan harga minyak mentah dunia dan kerajaan perlu menguruskan dasar subsidi secara beransur-ansur bagi mengelakkan implikasi politik dan fiskal yang besar.
Dr Barjoyai turut menekankan bahawa literasi ekonomi rakyat perlu dipertingkatkan agar mereka lebih memahami isu subsidi dan kos sara hidup kerana subsidi bukan sekadar angka, namun berkait dengan aspek sosial dan kesejahteraan keluarga.
Ujarnya, rakyat perlu dididik untuk memahami realiti ini dan kejayaan kerajaan menjimatkan RM4 bilion melalui penstrukturan subsidi elektrik sebelum ini menunjukkan model yang sama boleh diterapkan dalam pengurusan subsidi bahan api.
"Kerajaan telah membelanjakan lebih RM20 bilion setahun untuk subsidi minyak, dan angka itu kini dikurangkan kepada sekitar RM12 bilion.
"Dengan penyelarasan semula subsidi, kerajaan dijangka menjimatkan hampir RM5 bilion setahun. Ia juga mengelakkan ketirisan akibat pembelian minyak murah oleh warga asing," katanya lanjut.
Subsidi petrol RON95 melalui inisiatif Budi Madani merupakan tindakan berani PM Datuk Seri Anwar dalam mensasarkan subsidi hanya kepada warganegara Malaysia dan mengehadkan orang kaya yang mempunyai banyak kenderaan menggunakan petrol bersubsidi dengan kuota 300 liter per individu.









Comments