top of page

BUDI95: Formula bijak B40, M40 gembira, T20 tidak marah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 24
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar) menyifatkan langkah memperkenalkan subsidi bersasar RON95 merupakan tindakan popular hasil penggunaan formula yang bijak.


Beliau berkata penurunan harga bahan api itu memudahkan rakyat biasa dan marhaen memahami erti falsafah madani sekali gus membuka peluang untuk pentadbiran sekarang memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).


"Rakyat biasa atau rakyat marhaen tidak faham sangat erti falsafah madani.


"Tetapi rakyat miskin dan kaya menyokong pengumuman kerajaan Madani bahawa subsidi petrol RON95 untuk semua warganegara," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.


Kelmarin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter untuk warganegara yang layak bermula 30 September ini selaras dengan dasar subsidi bersasar bahan bakar itu melalui program Budi Madani RON95 (Budi95).


RON95 boleh dibeli menggunakan kad pengenalan di kaunter atau terminal pam di stesen minyak di seluruh negara bagi kira-kira 16 juta warganegara selain melalui e-dompet dan aplikasi syarikat minyak.


Individu bukan warganegara boleh membeli RON95 tanpa subsidi di pam minyak pada harga RM2.60 seliter.


Hassan berkata dasar popular kepada rakyat tanpa mengira kelas dan ras bukan merupakan satu kesalahan bagi kerajaan untuk melaksanakannya.


Lagi pun katanya pilihan raya negeri dan pilihan raya umum bakal tiba tidak lama lagi.


Jelas beliau melalui penyasaran subsidi itu kerajaan dapat membuat penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion


"Ini formula ekonomi yang bijak. Kerajaan dapat berjimat, rakyat juga dapat berjimat, sedikit sebanyak pendapatan boleh belanja rakyat bertambah.


"Orang miskin B40 dan kelas menengah M40 gembira dan golongan kaya T20 tidak marah," kata beliau.


Tambah beliau sekiranya lebih banyak formula ekonomi yang disambut baik rakyat seperti itu dilaksanakan, kerajaan perpaduan diyakini dapat kekal berkuasa selepas PRU-16.


"...di mana semua rakyat suka manakala kos sara hidup tidak menyeksa, kadar inflasi kalau naik pun berpada-pada, gaji rakyat naik tinggi selaras kenaikan produktiviti maka ada peluang Kerajaan Madani jadi kerajaan semula pada PRU-16 nanti," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page