BUDI95 diperluas kepada 16 juta penerima, sistem kekal stabil
- Suara Keadilan

- Oct 1
- 1 min read

Hampir 912,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis telah
melakukan transaksi Budi Madani RON95 (BUDI95) di stesen minyak di seluruh negara setakat malam semalam dengan sistem tersebut kekal stabil.
Pejabat Perdana Menteri berkata, pengesahan MyKad di stesen minyak turut berjalan dengan lancar pada kedua-dua hari terawal diperkenalkan sistem subsidi bersasar petrol itu sejak Sabtu lalu.
"Dengan itu, sebanyak RM43.7 juta pembelian telah direkodkan bagi 21.8 juta liter petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI95.
"Dan bermula pada tengah malam tadi (30 September 2025), BUDI95 diperluas kepada semua 16 juta rakyat Malaysia yang layak," kata Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah di Putrajaya pada sidang media petang semalam.
Kerajaan telah menetapkan harga runcit RON95 tanpa subsidi pada RM2.60 seliter untuk bulan Oktober 2025 dengan penerima BUDI95 dapat menikmati harga bersubsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter.
Ini bermakna, kerajaan memberikan manfaat subsidi kepada rakyat Malaysia sebanyak 61sen seliter.
Berdasarkan had kelayakan 300 liter, setiap individu menerima manfaat subsidi yang mencecah RM183 sebulan.
Tunku Nashrul berkata langkah ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mengotakan janji melindungi rakyat dengan memastikan mereka terus menikmati petrol RON95, ditambah pula dengan penjimatan untuk meringankan beban rakyat.









Comments