BUDI95: Beli RON95 lancar, pembangkang kempunan 'sistem huru hara'
- Suara Keadilan

- Oct 2
- 2 min read

Harapan pembangkang untuk melihat hari pertama rakyat membeli petrol bersubsidi di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) lintang pukang, huru hara atau mengalami gangguan sistem meleset sama sekali.
Menurut Aktivis Pakatan Harapan Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Syam Ghaz, pelaksanaan program subsidi bersasar yang lancar pada 30 September itu menunjukkan keberhasilan Kerajaan Madani dalam melaksanakan reformasi digitalisasi terbesar dalam sejarah negara, apabila 16 juta rakyat yang layak menikmati BUDI95 membeli petrol tanpa mengalami sebarang masalah sistem di stesen minyak.
"Pembangkang ramalkan stesen minyak akan penuh sesak, rakyat tidak dapat isi minyak, sistem bakal tumbang. Mereka gambarkan hari pertama harga turun ke RM1.99 seliter sebagai kecoh besar-besaran. Rupanya tidak," kata Syam dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sebaliknya BUDI95 beroperasi lancar ibarat “air sungai mengalir tenang” dengan sistem mampu mengurus sehingga 30,000 transaksi seminit, dan pada hari pertama sahaja RM43.7 juta transaksi direkodkan di seluruh negara.
Syam Ghaz menegaskan kejayaan itu membuktikan keberanian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani melaksanakan sesuatu yang tidak pernah disentuh oleh pentadbiran terdahulu.

"Penggunaan IC untuk subsidi bersasar menjadi sejarah baru negara seperti penembak tepat, peluru terus ke sasaran," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebelum ini MyKad atau IC dimanfaatkan dalam program SARA, dan kini melalui BUDI95, seramai 16 juta rakyat menggunakan MyKad untuk menikmati subsidi RON95 dengan mudah, selamat dan teratur.
"Kejayaan KDN melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ialah reformasi besar iaitu IC kini boleh mengesan dengan jelas siapa rakyat Malaysia, siapa warga asing. Pemalsuan IC pun mudah dikenal pasti," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau optimis model pengoperasian digitalm ini akan membuka jalan ke arah Digital ID dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pentadbiran.
"Apabila AI digabungkan dengan Digital ID, bantuan kerajaan akan jadi lebih pintar, tepat, telus, tanpa bocor, tanpa pilih bulu, tanpa birokrasi sempit.
"Tidak lama lagi IC rakyat akan berevolusi menjadi Digital ID, lebih pintar, lebih hebat.
"Reformasi bukan lagi slogan jalanan, tetapi dasar negara yang hidup, bergerak, dan memberi manfaat terus kepada rakyat," katanya lagi.









If ID is the success fact? why SARA 100 also used ID but failed dramatically? apparently something else made a difference, which is the infra and system behind the scene.