top of page

BUDI Diesel: Kerajaan disaran perluas skop penerima sewaktu krisis tenaga global - AMK

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Kerajaan dicadang meneliti semula syarat kelayakan penerima BUDI Diesel yang kini dihadkan kepada mereka berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.


Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Nabil Halimi berkata, masih terdapat golongan yang berdepan dengan tekanan kos sara hidup tinggi meskipun melebihi had pendapatan berkenaan.


Golongan itu katanya adalah mereka yang mempunyai tanggungan keluarga besar dan komitmen kewangan yang signifikan.


"Justeru, kelonggaran ini wajar dipertimbangkan sepanjang tempoh krisis ini. Selain itu, kerajaan perlu juga meneliti kemungkinan (untuk) memperluas skop subsidi diesel kepada sektor-sektor lain yang turut terkesan secara langsung.

Nabil Halimi
Nabil Halimi

"Terdapat juga maklum balas bahawa ada beberapa pemohon masih belum menerima keputusan walaupun telah lama memohon.


"Justeru, adalah wajar untuk pihak kerajaan meneliti secara menyeluruh isu-isu berkaitan kelewatan dalam proses permohonan dan kelulusan serta mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih cekap dan tepat pada masanya kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau turut menyambut baik pengumuman bantuan tambahan oleh Kerajaan MADANI yang meningkatkan insentif kepada 20,000 pesawah daripada RM150 kepada RM300, serta bantuan tunai kepada pengguna diesel dalam kalangan individu dan petani melalui inisiatif BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel, dengan kadar bantuan dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 kepada 150,000 pemilik kenderaan.


Nabil yang juga Ketua AMK Petaling Jaya menyifatkan, langkah yang diambil oleh pentadbiran Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mencerminkan keupayaan dasar fiskal dan tatakelola kewangan kerajaan yang berdisiplin sebelum tercetusnya krisis semasa.


Ujar beliau lagi, ia memberikan ruang fiskal yang mencukupi untuk kerajaan terus melaksanakan dasar intervensi khususnya dalam menstabilkan kos pengeluaran makanan asas negara serta melindungi kesejahteraan rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page