Budaya samseng politik cuba cetus huru-hara perlu ditolak
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 2 min read

Budaya samseng politik yang ditampilkan pihak tertentu hingga mencederakan seorang pegawai polis di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur kelmarin perlu ditolak dengan pesalah terbabit perlu segera dibawa ke muka pengadilan.
Ketua Cabang KEADILAN Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar orang ramai tidak menyalahgunakan hak kebebasan berhimpun secara aman yang dijamin Perlembagaan untuk menghalalkan keganasan.
"Kita sokong kebebasan bersuara, kita junjung demokrasi, tetapi kita tolak keras budaya samseng politik yang cuba menimbulkan huru hara.
"Undang-undang mesti ditegakkan dan pelaku wajib dibawa segera ke muka pengadilan. Keselamatan rakyat, keamanan negara dan integriti pasukan keselamatan adalah keutamaan yang mesti dipertahankan," katanya dalam kenyataan.
Kelmarin Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera ketika mengawal keadaan sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru susulan kekecohan akibat rempuhan sekumpulan individu yang mendesak untuk masuk ke kawasan operasi.
Murad berkata rakyat negara ini seharusnya mengambil sikap tidak berkompromi dengan tindakan keganasan dan provokasi sempit.
"Perbuatan sebegini (cederakan anggota polis) amat dikesali kerana langsung tidak mencerminkan budaya masyarakat kita yang bertamadun. Kebebasan bukan lesen untuk keganasan," katanya.
Murad berkata, menyerang penjawat awam apatah lagi Ketua Polis Daerah bukan tanda perjuangan tetapi suatu cara untuk menganggu gugat keharmonian negara.
"Tindakan keji sebegini tidak melambangkan keberanian malah hanya mendedahkan betapa sempit dan dangkalnya agenda pihak yang menunggang isu ini untuk kepentingan peribadi," ujarnya.
Beliau menjelaskan sebahagian besar pemilik kediaman di Kampung Sungai Baru telah menerima pampasan ratusan ribu hingga jutaan ringgit melalui proses rundingan dan mahkamah sejak zaman kerajaan terdahulu.
"Writ mahkamah sudah pun dikeluarkan, maka proses pengosongan premis adalah arahan undang-undang yang perlu dihormati dan (ianya) bukan datang dari arahan kerajaan.
"Malangnya ada pihak luar yang cuba menangguk di air keruh dengan memainkan sentimen perkauman, menyemai kebencian serta memprovokasi orang ramai," ujar beliau lagi.